amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan peningkatan Malaysia ke Tahap 2 dalam laporan Pemantauan Pemerdagangan Orang (Trafficking in Persons Report) adalah hasil daripada beberapa langkah signifikan yang diambil pelbagai pihak.
Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, ia termasuk usaha pihak kerajaan dan organisasi tempatan dalam meningkatkan penguatkuasaan undang-undang.
Selain itu katanya, peningkatan tahap negara dalam laporan itu hasil kerjasama semakin meningkat dengan negara-negara lain dan organisasi antarabangsa untuk mengekang rangkaian pemerdagangan manusia dengan penubuhan lebih banyak pusat-pusat perlindungan.
“Ia turut menyumbang peningkatan kualiti perkhidmatan yang disediakan kepada mangsa pemerdagangan dengan program pemulihan dan reintegrasi sosial untuk mangsa.
“Begitu juga pembaharuan dasar yang menyokong perlindungan hak pekerja migran yang sering menjadi sasaran pemerdagangan orang.
“Di samping itu juga kempen kesedaran dan pendidikan awam yang berterusan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai bahaya dan tanda-tanda pemerdagangan orang. Langkah-langkah ini menunjukkan komitmen Malaysia dalam menangani isu pemerdagangan orang dengan lebih serius,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Pada 24 Jun lalu, Malaysia berada pada senarai kedudukan Tahap 2 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).
Kedudukan itu disifatkan amat strategik kerana sebelum ini Malaysia dinilai pada tahap Tahap 2 Pemerhatian pada 2023 dan kali terakhir berada pada Tahap 2 adalah pada 2017.
Mohd Effendy berkata, Peningkatan ke Tahap 2 adalah satu petanda positif, tetapi usaha berterusan diperlukan untuk memastikan kemajuan dapat dikekalkan dan ditingkatkan.
“Selain itu, peningkatan ini juga disebabkan oleh kejayaan pelaksanaan Pelan Tindakan Nasional Anti Pemerdagangan Orang (2021-2025) (NAPTIP 3.0) hingga membawa kepada beberapa perkembangan positif yang diiktiraf oleh komuniti antarabangsa.
“Secara keseluruhannya, NAPTIP 3.0 memberikan rangka kerja yang kuat dan strategi berkesan untuk menangani pemerdagangan orang di Malaysia yang menyumbang kepada peningkatan tahap negara dalam laporan Pemantauan Pemerdagangan Orang,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan tidak akan tercapai tanpa usaha kolektif daripada pelbagai agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan, dan masyarakat umum yang terus bekerjasama dalam usaha ini.
“Peningkatan ini bukan sahaja meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa tetapi juga memberikan harapan baru kepada mangsa pemerdagangan orang di Malaysia.
“Semoga usaha terus diperkukuhkan dan membawa kepada kemajuan yang lebih besar dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang,” katanya.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd