Komitmen RCB taja pelumba tempatan dihargai

Komitmen RCB taja pelumba tempatan dihargai

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Syarikat aksesori dan alat ganti motosikal tempatan, RCB, terus mengukuhkan namanya di persada industri permotoran apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Industri pada Majlis Anugerah Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) 2025, semalam.

Pengiktirafan berprestij itu diberikan kepada RCB susulan peranan aktif syarikat berkenaan bukan sahaja dalam aspek pemasaran dan pembangunan produk, malah komitmen berterusan mereka dalam menyokong sukan permotoran tempatan menerusi penajaan pelumba negara.

Antara pelumba yang menerima manfaat daripada sokongan RCB ialah Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan, yang kini dilihat semakin menyerlah di pentas perlumbaan hasil sokongan teknikal serta kewangan daripada jenama tempatan itu.

Pengurus Besar Jenama RCB, Marcus Leong, mengakui kemenangan itu di luar jangkaan, namun cukup bermakna buat seluruh organisasi.

“Saya rasa anugerah ini agak di luar jangkaan kerana kami langsung tidak menyedari yang kami akan memenanginya. Namun, kami berasa sangat bangga, bukan sahaja saya secara peribadi, tetapi seluruh syarikat, jenama dan juga pasukan.

“Saya percaya pencapaian ini adalah hasil kerja keras yang sudah kami lakukan selama ini dan kini usaha ini mula mendapat pengiktirafan daripada rakan industri kami seperti MAM.

“Ini adalah sesuatu yang sangat bermakna kerana ia menunjukkan pemain industri mengiktiraf siapa kami, apa yang kami lakukan, serta bagaimana kami berkembang daripada sebuah jenama tempatan kepada jenama antarabangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top