Glasgow: Vincent Kompany memuji ketenangan Bayern Munich ketika menundukkan Celtic 2-1 dalam aksi pertama play off Liga Juara-Juara, awal pagi tadi, sambil menegaskan pasukannya tidak terkesan dengan suasana ‘gila’ di Celtic Park.
Pengendali Bayern itu mengakui kehadiran 60,000 penyokong tuan rumah di Glasgow boleh menjadi pencetus semangat buat Celtic, namun pasukan gergasi Bundesliga itu menampilkan permainan matang untuk meredakan sorakan lawan.
Michael Olise membuka jaringan menerusi rembatan padu ke penjuru atas gawang dari jarak 15 meter pada penghujung babak pertama, sebelum Harry Kane menggandakan kelebihan Bayern dengan voli jarak dekat selepas menerima hantaran Joshua Kimmich pada minit ke-49.
Bayern tampak selesa menguasai permainan, namun kelonggaran di penghujung perlawanan membolehkan Daizen Maeda menanduk masuk gol pada minit ke-79 untuk memberikan harapan buat Celtic.
Penjaga gol Bayern, Manuel Neuer, terpaksa bekerja keras menafikan percubaan Alistair Johnston di saat-saat akhir bagi memastikan kelebihan kekal milik pasukan pelawat.
Kompany mengakui lega apabila wisel penamat ditiup, tetapi tetap berbangga dengan kejayaan pasukannya menamatkan rekod 33 perlawanan tanpa kalah Celtic di laman sendiri dalam semua kejohanan.
“Ia klise untuk dikatakan, tetapi ini baru separuh perjalanan. Secara keseluruhan, ia satu keputusan yang hebat,” kata Kompany.
“Saya tahu tempat ini, kadang-kadang ia boleh memberi tenaga luar biasa kepada pasukan tuan rumah. Kami berjaya mengawal suasana untuk tempoh yang lama sebelum ia menjadi terlalu ‘gila’.
“Dalam 10 minit terakhir, kami perlu bertahan dan kami melakukannya dengan baik. Penyokong mereka jarang melihat pasukan ini tewas, terutama di pentas Eropah, jadi kami faham betapa pentingnya kemenangan ini.”
Bayern kini menjadi pilihan utama untuk mara ke pusingan 16 terbaik apabila menerima kunjungan Celtic bagi aksi timbal balik di Munich pada 19 Februari nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




