Munich: Juara Jerman, Bayern Munich bersedia bangkit semula menentang St Pauli pada Sabtu selepas tumbang buat kali pertama musim ini awal minggu lalu, sambil berusaha mengekalkan kelebihan enam mata di puncak Bundesliga.
Rekod 18 perlawanan tanpa kalah Bayern dalam semua pertandingan lebur pada Rabu apabila mereka tewas 1-3 kepada Arsenal dalam aksi Liga Juara-Juara di London.
Selepas membuka musim dengan 16 kemenangan berturut-turut, Bayern kini hanya menang sekali dalam tiga perlawanan terakhir.
Namun pengendali pasukan, Vincent Kompany yakin pemainnya akan kembali memperbetulkan keadaan.
“Sekarang kita akan lihat bagaimana kami memberi reaksi,” kata Kompany.
“Bagaimana kekalahan ini akan buat kami bertambah baik. Jawapannya akan muncul.
“Kami perlu selesaikan ini pada Sabtu. Saya boleh rasa pemain-pemain sudah dahagakan untuk aksi seterusnya.”
Ramai menjangka Bayern kembali ke rentak kemenangan minggu ini, dengan pasukan Kompany sudah menyamai rekod liga, 43 perlawanan berturut-turut sebagai pendahulu Bundesliga.
Mereka meledak 41 gol liga dalam 11 perlawanan berbanding St Pauli yang hanya menjaringkan sembilan.
Bayern juga masih belum tewas dalam Bundesliga.
Bayern berada di tangga teratas dengan 31 mata, enam mata di depan RB Leipzig.
Kedudukan itu memastikan mereka mencipta rekod baharu 44 perlawanan sebagai pendahulu liga tidak kira apa keputusan menentang St Pauli.
St Pauli pula berdepan prestasi terburuk apabila tewas lapan perlawanan liga berturut-turut.
Mereka jatuh ke tangga ke-16, slot playoff penyingkiran, dengan hanya dua kemenangan daripada 11 perlawanan.
Namun jika ada satu perkara yang memihak St Pauli, ia adalah faktor psikologi, mereka bebas tekanan berdasarkan prestasi semasa dan kekuatan lawan.
“Mungkin secara mental kami boleh lebih relaks kerana tiada siapa yang betul-betul mengharapkan apa-apa daripada kami sekarang,” kata penjaga gol St Pauli, Nikola Vasilj.
Bagi pertahanan Eric Smith pula, masa perlawanan ini disifatkan ‘sempurna’.
“Walaupun kami menang 10 kali berturut-turut sebelum perlawanan ini, tiada siapa jangka kami mampu ambil tiga mata,” katanya.
“Mungkin inilah masa terbaik untuk kami perbaiki sistem bertahan. Sebab saya yakin kami akan bertahan agak banyak.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




