Kompaun pembawa wabak, bukan sekolah – Utusan Digital

KUANTAN: Tidak adil menyalahkan pihak sekolah termasuk dikompaun jika berlaku penularan Covid-19 atau wujudnya kluster baharu di sekolah terbabit.

Membantah tindakan itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, pihak sekolah pastinya berusaha sedaya upaya dan bersusah payah melaksanakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Jika berlaku (penularan Covid-19) juga, jangan salahkan pihak sekolah sebaliknya cari punca daripada mana datang kes dan pembawa kes tersebut.

“Apakah pembawanya sedar mereka bergejala atau pergi ke kawasan berisiko tapi masih hadir ke sekolah dan sepatutnya jika mereka sedar dan tetap hadir ke sekolah, sepatutnya golongan inilah yang dikenakan kompaun, bukannya pihak sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini, polis Pahang mengemukakan cadangan untuk mengeluarkan kompaun kepada pihak sekolah di negeri ini yang didapati mengabaikan SOP hingga mencetuskan kluster baharu Covid-19.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, perkara itu dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Menurut Abd. Jalil, cadangan itu dikemukakan bagi memastikan semua pihak bertanggungjawab dalam menyekat penularan jangkitan Covid-19 khususnya melibatkan kawasan sekolah.

Jasni berkata, individu bergejala perlu ke tempat yang sepatutnya untuk mendapatkan pemeriksaan ujian saringan Covid-19 dan pihak Kementerian Kesihatan perlu mempermudahkan urusan mereka terutamanya bagi golongan yang akan ke sekolah

Menurutnya, hebahan Kementerian Kesihatan dalam hal mempermudahkan urusan saringan Covid-19 perlu dibuat melalui media masa dan juga komuniti masyarakat serta melalui tempat ibadah seperti masjid.

“Hal ini dapat membendung masyarakat daripada ke sekolah atau menghantar anak ke sekolah kerana mereka telah mendapat ujian saringan Covid-19 dengan mudah di pusat-pusat kesihatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE