Kompleks Akademi Al-Bayan, pusat tahfiz anak mualaf pertama di Malaysia

Kompleks Akademi Al-Bayan, pusat tahfiz anak mualaf pertama di Malaysia

MELAKA – Melaka bakal mempunyai Kompleks Akademi Al Bayan, sebuah pusat tahfiz anak-anak mualaf pertama di Malaysia yang kini dalam pembinaan sebelum memulakan pengajiannya pada 2026.

Pengerusinya, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, kompleks dikeluasan tanah 0.8 hektar di Kampung Pegoh di sini yang dijangka menelan belanja RM16 juta itu bakal dilengkapi Kompleks Tiga Budaya.

Menurutnya, ia memaparkan tiga budaya melalui seni bina kesenian budaya Kesultanan Melayu Melaka mewakili bangsa Melayu selain masyarakat Cina dan India.

Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan

“Sasaran kita adalah untuk melahirkan 300 pendakwah mualaf bertaraf antarabangsa yang menggunakan medium bahasa bangsa mereka sendiri.

“Kaedah ini akan menjadi pendekatan kita dalam menyampaikan risalah syariat kepada mereka yang belum Islam,” katanya.

Adly (tengah) mendengar penerangan daripada Dr Nur Mohammad Hadi mengenai pembinaan Kompleks Akademi Al-Bayan di Kampung Pegoh, Alor Gajah, Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari ke tapak pembinaan akademi itu di sini semalam.

Mengulas lanjut, Nur Mohammad Hadi berkata, akademi itu apabila siap kelak akan memberikan impak besar kepada penduduk setempat dalam sudut akademik dan ekonomi.

“Pembinaan akademi ini selari dengan ajaran al-Quran dan sunnah kehidupan Rasulullah SAW untuk membimbing golongan anak mualaf supaya menjadi seorang daie yang menyebarkan agama Islam di dalam kaum atau sesama bangsa.

“Sasaran kita supaya kompleks ini dapat disiapkan penghujung tahun 2025 dan memulakan pengajian pada 2026 juga selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 sekali gus bakal menjadikan ia destinasi wajib dikunjungi,” katanya.

Tambahnya bagi merealisasikan usaha itu,  Akademi Al Bayan mendapat kelulusan untuk mengutip dana sehingga RM25 juta oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Setakat ini, kita sudah menerima sumbangan bukan sahaja daripada rakyat Malaysia, bahkan penyumbang daripada Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand dan beberapa negara lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun tabung pembinaan Akademi Al Bayan 564258617368 (Maybank) atau terus melayari laman web www.akademialbayan.com. – MalaysiaGazette