MELAKA – Kompleks Dewan Kuliah baharu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dirasmikan baru-baru ini memberi manfaat buat hampir 14,000 pelajar.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, kompleks dewan kuliah itu dibina apabila mempunyai peningkatan enrolmen pelajar pada setiap sesi kemasukan.
Jelasnya, perancangan pembangunan dan fasiliti UTeM yang strategik dapat memberi keselesaan dan menyokong proses pengajaran dan pembelajaran yang serba kondusif.
Ujar beliau, bahawa projek berkenaan mendapat kelulusan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dengan kelulusan kos siling berjumlah RM15 juta.
Lagi pun, dewan kuliah itu telah siap dibina oleh salah sebuah syarikat pembina yang dikenali sebagai Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Sebarang Perak Berhad.
Sementara itu, Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti UTeM, Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff berkata, Kompleks Dewan Kuliah berkeluasan 4,452.0 meter persegi.
Katanya, ianya dilengkapi dengan dua unit dewan kuliah jenis bertingkat dan dua unit dewan kuliah jenis rata.
Malah, setiap satunya berkapasiti 300 orang selain empat unit dewan kuliah jenis rata berkapasiti 150 orang dan dua unit bilik bacaan serta insfrastruktur sokongan.
“Turut dilengkapi dengan ruang pejabat pentadbiran yang menempatkan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA). Ia mampu diisi seramai 19 orang staf yang telah pun memulakan operasi pentadbirannya di Kompleks Dewan Kuliah ini pada hujung Januari lepas,” katanya lagi.
Dalam pada itu, majlis simbolik penyerahan kunci Kompleks Dewan Kuliah baharu UTeM ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar di kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.- MalaysiaGazette