Kompleks Kota Raya jadi tumpuan peniaga buah warga Filipina?

Kompleks Kota Raya jadi tumpuan peniaga buah warga Filipina?

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beberapa peniaga warga asing dikesan menjual buah-buahan di dalam Kompleks Kota Raya, di sini, sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan warga tempatan.

Tinjauan Harian Metro hari ini mendapati terdapat sekurang-kurangnya lima lot kedai di Aras 2,3 dan 4 menjual buah-buahan seperti pisang, ubi keledek, mangga dan avokado.

Buah-buahan itu dipamerkan di hadapan premis yang asalnya menjual produk lain seperti kedai pakaian dan kedai runcit yang menjual makanan dalam tin diimport dari Filipina.

Selain itu, gerai sama turut menyajikan manisan Filipina seperti biko, ube bibingka dan barquillos sesuai dengan lokasinya yang sering menjadi tumpuan warga negara itu.

Peniaga warga tempatan yang mahu dikenali sebagai Lim, 61, berkata, sejak dia menyewa lot kedai di kompleks berkenaan awal Mei lalu, sudah ada beberapa peniaga warga Filipina menjual buah-buahan di Aras 3 kompleks berkenaan.

Menurutnya, perkara itu mendorongnya melakukan perkara sama untuk meraih pendapatan tambahan di samping menjual bahan masakan dari Filipina.

“Ramai pelanggan warga Filipina hadir pada Ahad saja, hari lain kurang pelanggan. Mereka terdiri dari pembantu rumah.

“Stok buah ini boleh terjual dalam tempoh seminggu sebelum saya beli stok baharu di pasar sekitar Chow Kit,” katanya.

Seorang lagi peniaga warga tempatan dilihat berniaga pakaian namun dipercayai membenarkan warga asing menjual buah dan manisan di lot kedai yang sama.

Malah, dia juga membantu urus niaga apabila mengambil wang dari pelanggan yang membeli manisan di kedai itu.

Ketika ditanya mengenai warga asing yang beroperasi di lot kedainya, lelaki itu bagaimanapun terganggu dengan soalan diajukan.

“Saya berniaga mengikut undang-undang. Kamu datang dari mana? Baik kamu pergi,” katanya.

Sementara itu, wakil pengurusan Kota Raya Development Sdn Bhd, Nadia ketika dihubungi menegaskan, semua lot kedai disewa oleh warga tempatan.

“Ada penyewa kedai menggaji warga asing, namun pihak pengurusan kompleks memastikan semua pekerja warga asing memiliki permit yang sah.

“Untuk makluman, kita juga tiada tegahan untuk peniaga di kompleks ini menjual buah-buahan selagi mereka mengikut peraturan yang ditetapkan seperti menjaga kebersihan dan tidak mengganggu laluan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top