
Anwar mempengerusikan mesyuarat bersama Intel Corporation secara atas talian di Putrajaya. Foto Pejabat Perdana Menteri
PELABURAN Intel di Malaysia bakal berkembang dengan kompleks pembungkusan termaju dan pembuatan pemasangan akan bermula operasi pada lewat tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau telah menerima penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation, Tan Lip-Bu dan pasukannya mengenai perkembangan terkini peluasan pelaburan Intel di Malaysia semalam.
“Perbincangan tertumpu kepada usaha menyokong pembangunan kompleks pembungkusan termaju serta pembuatan pemasangan dan ujian yang merupakan komponen utama peluasan pelaburan Intel di Malaysia,” kata Anwar menerusi catatan di laman media sosial beliau pada Selasa.
Beliau berkata, Naib Presiden Eksekutif dan Pengurus Besar Intel Foundry, Naga Chandrasekaran pula telah menggariskan rancangan untuk memulakan fasa pertama kompleks tersebut dengan pemasangan dan ujian bagi pembungkusan termaju.
“Saya menyambut baik keputusan pihak Intel untuk memulakan operasi bagi kompleks tersebut pada lewat tahun ini,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata, penekanan turut diberikan kepada latihan berterusan dan peningkatan kemahiran bagi bakat tempatan sepanjang rantaian nilai dan ini penting dalam usaha kerajaan menjana pekerjaan bernilai tinggi selari dengan aspirasi Ekonomi Madani
“Jentera Kerajaan Madani akan terus menjadi rakan dan pemudah cara bagi pelaburan yang jelas akan memberi manfaat dalam jangka masa panjang sebagaimana disasarkan dalam pelan yang telah dilancarkan termasuk Strategi Semikonduktor Nasional,” kata beliau. – Bernama
Ringkasan AI
- Pelaburan Intel di Malaysia akan berkembang dengan kompleks pembungkusan termaju dan pembuatan pemasangan bermula operasi lewat tahun ini
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Intel mengenai perkembangan peluasan pelaburan
- Perbincangan tertumpu kepada pembangunan kompleks pembungkusan termaju serta pembuatan pemasangan dan ujian
- Naib Presiden Eksekutif Intel, Naga Chandrasekaran, telah menggariskan rancangan untuk memulakan fasa pertama kompleks tersebut
- Penekanan diberikan kepada latihan berterusan dan peningkatan kemahiran bakat tempatan sepanjang rantaian nilai



