suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam 14 saksi termasuk usaha mengesan saksi-saksi penting yang dipercayai telah keluar dari Malaysia berhubung siasatan dakwaan kewujudan komplot untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan kes itu dilaksanakan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang merujuk kepada aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Menurutnya, ia sebagaimana kenyataan olehKetua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bertarikh 27 Februari lalu.
“Setakat hari ini, seramai 14 orang saksi telah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Melalui semakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), mengesahkan terdapat saksi-saksi penting telah membuat pergerakan keluar dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di antara Januari hingga Februari 2026,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, PDRM kini sedang meneruskan usaha untuk mengesan saksi-saksi tersebut bagi membantu siasatan.
Katanya, pihaknya komited dalam menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, PDRM mengesahkan siasatan berhubung dakwaan wujudnya cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan berkenaan membabitkan seorang individu berpengaruh tempatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi media antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




