Komplot 'sedut' petrol subsidi kecundang

Komplot 'sedut' petrol subsidi kecundang

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Dua pekerja stesen minyak adalah antara tiga individu yang ditahan selepas dipercayai bersekongkol dalam aktiviti penyelewengan petrol subsidi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, semua individu itu diberkas dalam operasi pihaknya di Jalan Pasir Pekan di sini, jam 9.45 pagi semalam.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, terdapat seorang suspek lelaki berusia 30-an sedang mengisi petrol di dalam kereta Proton Waja.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu menemui tangki minyak diubah suai bagi mengisi 200 liter petrol subsidi bernilai RM410.

“Susulan itu, dua pekerja stesen minyak masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 20-an serta 40-an ditahan selain beberapa dokumen berkaitan jualan petrol disita untuk siasatan lanjut.

“Suspek menggunakan modus operandi dengan membuat pengisian petrol pada waktu awal pagi menggunakan tangki ubah suai pada kereta berkenaan.

“Petrol itu seterusnya dipercayai diseleweng melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok,” katanya semalam.

Azman berkata, pihaknya berusaha membanteras penyelewengan barang kawalan di sempadan negara selain memastikan kegiatan itu dapat dibanteras sepenuhnya.

“KPDN Kelantan juga memastikan pengguna dapat menikmati subsidi yang diberikan kerajaan. Kami tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang membanteras sindiket penyelewengan subsidi barang kawalan demi kepentingan rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top