mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Komposer terkenal, Adinda Amiro atau nama sebenarnya Saidin Omar meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, malam tadi.
Perkara ini dimaklumkan oleh kenalannya, Budiman Mohd Zohdi menerusi Facebook.
“Al Fatihah. Saidin Omar pulang ke Kampung Abadi, sekarang jenazah masih di Hospital Serdang (Sultan Idris Shah). Masih menunggu proses-proses seterusnya.
“Ramai kawan-kawan turut berada di hospital. Sinaganaga Lan Benhussain, Saleeh Rahamad, Mohd Khair, Mutalib Uthman.
“Khabarnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Gombak. Maklumat lanjut akan dimaklum,” katanya.
Budiman berkata, dia bersama Allahyarham dan rakan-rakan lain singgah di Kebun Puisi menikmati sup tulang lembu, minggu lalu.
Mereka juga sempat bekerjasama dalam projek terakhir lagu berjudul Korbankanlah sempena Aidiladha.
Allahyarham tampil buat kali terakhir bertemu media semasa pelancaran lagu raya nyanyian Soma yang diciptanya bersama Bell Fattah dan Soma berjudul Aku Tetap Raya di sebuah hotel, Ramadan lalu.
Sementara itu, Presiden Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama), Ayob Abdul Majid merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Ayob menyifatkan Allahyarham seorang tokoh seni yang amat berbakat serta banyak menyumbang kepada industri muzik tanah air sebagai penulis lirik, komposer dan seniman puisi.
“Karya-karya Allahyarham merentasi masa dan menyentuh jutaan hati rakyat Malaysia.
“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar bagi dunia muzik dan budaya Malaysia. Namun, legasi seni dan suara hatinya akan terus hidup dalam lagu-lagu yang ditinggalkan.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan para solihin, dan diberikan ganjaran atas segala sumbangan seninya yang menghidupkan jiwa-jiwa insan,” katanya.
Antara karya Allahyarham yang terus segar dalam ingatan peminat termasuk lagu Aduhai Seribu Kali Sayang yang dinyanyikan Allahyarham Saleem Iklim, Permaidani (Aris Ariwatan), Bukan Aku Tak Cinta (Iklim) dan banyak lagi karya yang mengangkat seni lirik Melayu ke tahap puisi yang tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




