Washington: Seorang penumpang Allegiant Air disiasat oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) selepas didakwa mengatakan komputer ribanya adalah bom ketika menaiki pesawat.
Portal USA Today melaporkan, penumpang itu didakwa dengan melakukan ancaman bom palsu, yang memaksa penerbangan melakukan pendaratan cemas pada Ahad.
Suspek, Taj Malik Taylor, 27, ‘duduk di barisan terakhir di atas pesawat Allegiant Air Flight 1023’, menurut afidavit FBI.
Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa St. Pete, Clearwater dan dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Wilayah Roanoke-Blacksburg sebelum Taylor memberitahu penumpang di sebelahnya, ‘komputer riba saya adalah bom’.
Menurut afidavit itu, rakan tempat duduk Taylor bertanya apa yang dimaksudkan, dan lelaki itu didakwa mengangkat sarung komputer ribanya, selain terus mengulangi ia adalah bom.
“Penumpang itu segera memberitahu pramugari,” menurut satu kenyataan oleh Pejabat Syerif Pinellas County.
Detektif berkata, beberapa saksi lain di dalam pesawat itu turut mendengar Taylor menyatakan dia mempunyai bom.
Pesawat itu berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa St. Pete-Clearwate dan mendarat kira-kira jam 2 petang.
“Allegiant tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk kelakuan yang mengganggu, jadi keputusan dibuat untuk kembali ke lapangan terbang.
“Pesawat itu mendarat dengan selamat dan pegawai penguat kuasa undang-undang kemudian menahan penumpang terbabit,” kata jurucakap Allegiant Air kepada USA Today dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa berkata mereka menerima panggilan mengenai ancaman bom lisan.
Susulan itu, unit K9 menggeledah barang-barangnya dan tiada bom ditemui.
Menurut afidavit, Taylor memberitahu pihak berkuasa dalam soal siasat yang dia baru-baru ini dibebaskan dari pusat kesihatan mental dan mengambil ubat serta dalam keadaan tidak stabil.
Taylor didakwa dengan ancaman bom palsu, dan boleh didenda sehingga AS$ 25,000 (kira-kira RM106,013) hukuman penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
© New Straits Times Press (M) Bhd