Komunikasi kerajaan bukan hanya pada menteri bertanggungjawab

PETALING JAYA: Tanggungjawab komunikasi kerajaan tidak seharusnya dipikul menteri di bawah portfolio tersebut atau ketua penerangan semata-mata sehingga dilihat sebagai satu usaha berpusat (centralised effort).

Tindakan tersebur menurut bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua adalah sebagai ketinggalan zaman.

Katanya, kerajaan perlu menggunakan kuasa, tenaga, kreativiti seluruh parti dan juga pergerakan yang sehaluan dengan idea-idea PKR untuk menyampaikan mesej kepada rakyat

“Saya rasa itu kekurangan sekarang (kerana) kita masih guna format lama (iaitu) bergantung kepada Menteri Komunikasi.

“Saya tak salahkan Menteri Komunikasi kerana dia hanya jalankan tugas tetapi keseluruhan komunikasi harus berubah,” katanya dalam audio siar The Tiger Show Podcast hari ini.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Batu itu ditanya isu kelemahan komunikasi kerajaan yang sebelum ini telah dibincangkan ramai pihak.

Keadaan tersebut sekali gus menyebabkan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil terpaksa meminta maaf semasa Kongres PKR baru-baru ini dan menyatakan komunikasi kerajaan yang lemah menyebabkan terdapat maklumat tidak sampai kepada rakyat.-UTUSAN

Scroll to Top