Komunikasi Palsu: Mahkamah putuskan wanita tak perlu jalani pemeriksaan psikiatri kali kedua

Komunikasi Palsu: Mahkamah putuskan wanita tak perlu jalani pemeriksaan psikiatri kali kedua

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan bahawa tukang urut wanita yang berdepan pertuduhan memuat naik hantaran video dan gambar sijil nikah palsu membabitkan dirinya dengan seorang kerabat diraja tidak perlu menjalani pemeriksaan psikiatri kali kedua.

Hakim Suhaila Haron berkata, laporan perubatan psikiatri Persana Avril Sollunda, 43, yang diperoleh daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Perak menunjukkan bahawa dia layak dibicarakan.

“Sebarang isu berkaitan ubat boleh dirujuk terus kepada pihak hospital. Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 31 Oktober ini manakala tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 3 hingga 5 Disember ini dikekalkan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham membantah permohonan tertuduh untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sekali lagi kerana laporan perubatan yang diperoleh sebelum ini adalah memadai.

Peguam Rubhern Raj pula berkata, pihaknya memohon pemeriksaan psikiatri dibuat sekali lagi kerana ubat sedia ada tidak berkesan dan Persana Avril juga mengadu sering mundar-mandir dan sukar untuk dikawal sehingga menimbulkan masalah kepada pihak penjara.

Pada prosiding itu, Izzat Amir turut memaklumkan bahawa terdapat pindaan dalam pertuduhan iaitu ayat ‘menyakiti hati orang lain’ ditukar kepada ‘mengganggu orang lain’.

Pertuduhan itu kemudiannya dibacakan semula kepada tertuduh yang masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Persana Avril didakwa membuat dan memulakan penghantaran gambar dalam satu video palsu di aplikasi TikTok melalui akaun ‘king.charles.ratu’ yang memaparkan sijil pernikahan palsu antara seorang kerabat diraja dan Crown Princess Ratu Shana dengan niat untuk mengganggu orang lain pada 25 Februari lalu.

Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ di sini pada 10 pagi 26 Februari lepas mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, Persana Avril boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya sekali, dan boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top