Konco along dipenjara setahun, denda RM2,000

Konco along dipenjara setahun, denda RM2,000

am@hmetro.com.my

Ipoh: Lelaki suruhan along dipenjara setahun dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyimbah cat di kediaman mangsa, Julai lalu.

Majistret S Punitha menjatuhkan hukuman itu terhadap Chee Wei Leong, 44, selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan supaya tertuduh dipenjara empat bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat merah pada pagar dan pintu sebuah rumah di Kampung Baru Bukit Merah, dekat sini yang menyebabkan kerugian RM500 pada 6.01 pagi, 13 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat merah pada sebuah rumah di Taman Utama Bercham, dekat sini yang menyebabkan kerugian lebih RM25 pada 7 pagi, 8 Julai lalu.

Lantaran itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding berasingan, Chee turut mengaku bersalah atas empat lagi pertuduhan melakukan khianat di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga keempat, bapa dua anak itu didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat pada kediaman empat individu berbeza.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh masing-masing di Persiaran Halaman Ampang 5 Taman Pelangi; Lorong Bercham 5, Kampung Bercham; Taman Pinggir Rapat Perdana dan Persiaran Perpaduan 10, Arena Perpaduan Jaya antara jam 7.30 pagi, 3 Jun hingga 5 pagi, 13 Julai lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi keempat-empat pertuduhan itu, serta menetapkan sebutan semula kes pada 18 Oktober untuk jatuh hukum.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top