Paris: Banyak kedai di Dubai dan pusat beli-belah utama lain di Timur Tengah ditutup atau beroperasi dengan kakitangan minimum akibat konflik yang semakin meningkat di rantau itu.
Perang udara Amerika Syarikat (AS) – Israel terhadap Iran berkembang pada 2 Mac tanpa tanda-tanda akan berakhir dengan Tehran menembak misil dan dron ke negara Teluk sebagai balasan terhadap serangan bom hujung minggu yang membunuh ketua tertinggi Iran serta ramai orang awam, termasuk sebuah sekolah rendah perempuan.
Kumpulan Chalhoub berkata, kedainya di Bahrain ditutup, manakala kedai di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jordan kekal dibuka dengan kehadiran kakitangan secara sukarela.
Naib Presiden Komunikasi Chalhoub, Lynn al Khatib berkata, pasukan kepimpinan syarikat melawat Dubai Mall dan Mall of the Emirates pada pagi 2 Mac untuk bertemu pekerja.
Dalam pada itu, Amazon menggantung penghantaran di seluruh rantau dan mengarahkan pekerja di Arab Saudi dan Jordan kekal di rumah.
Pemilik Gucci, Kering berkata, kedainya ditutup sementara di UAE, Kuwait, Bahrain dan Qatar serta menggantung perjalanan ke Timur Tengah.
Saham kumpulan mewah LVMH, Hermes dan Richemont turun antara 4 peratus hingga 5.7 peratus pada petang 2 Mac.
Timur Tengah masih menyumbang antara lima peratus hingga 10 peratus perbelanjaan global untuk barangan mewah, namun rantau ini menjadi penyumbang terbesar pada 2025.
Lapangan terbang yang ditutup dan serangan misil, termasuk satu yang merosakkan hotel lima bintang Fairmont Palm di Dubai, dijangka menghalang pelancong jika konflik berlanjutan.
Sementara itu, rakan kanan di perunding Kearney, Victor Dijon berkata, pasaran runcit perjalanan bernilai AS$5 bilion (kira-kira RM1.27 bilion) hingga AS$6 bilion (RM1.52 bilion) berisiko mengalami kerugian ratusan juta dolar jika ditutup sebulan.
Tambahnya, jika pembeli dari Timur Tengah tidak dapat melancong ke Paris atau Milan, jualan barangan mewah di Eropah juga mungkin terjejas.
Apple pula akan menutup kedainya di Dubai sehingga 5 Mac, H&M menutup kedainya di Bahrain dan Israel, manakala Reckitt mengarahkan pekerja bekerja dari rumah dan menutup sementara tapak pembuatan di Bahrain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




