Konflik Asia Barat: AS ugut tarik keluar 5,000 tentera dari Jerman

Konflik Asia Barat: AS ugut tarik keluar 5,000 tentera dari Jerman
Konflik Asia Barat: AS ugut tarik keluar 5,000 tentera dari Jerman

Anggota entera melihat keluar dari tingkap pada hari Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, singgah di Pangkalan Udara Ramstein di Jerman pada 24 April 2025. – Agensi

WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan akan menarik keluar 5,000 anggota tenteranya dari Jerman di tengah ketegangan konflik berterusan di Asia Barat.

Menurut laporan Reuters, Pentagon membuat keputusan itu pada Jumaat, beberapa hari selepas Canselor Jerman, Friedrich Merz, menyatakan bahawa Iran sedang memperlekehkan AS dalam rundingan untuk menamatkan perang itu.

“Presiden bertindak balas dengan sewajarnya terhadap kenyataan yang tidak membantu ini,” menurut laporan itu yang memetik seorang pegawai tanpa nama.

Agensi berita tersebut turut melaporkan bahawa pengunduran berkenaan dijangka berlaku dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Keputusan itu juga dilaporkan oleh CBS News yang memetik pegawai kanan pertahanan.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengkritik sekutu-sekutu Eropah kerana tidak melakukan lebih banyak usaha untuk membantu dalam konflik tersebut.

Pada Rabu, media melaporkan bahawa Trump sedang mempertimbangkan untuk menarik keluar tentera dari negara-negara Eropah yang dianggap tidak cukup menyokong.

Walaupun negara-negara Eropah berhati-hati untuk menghantar pasukan mereka sendiri bagi menyertai perang AS terhadap Iran, pemimpin seperti Merz pada awalnya juga berhati-hati untuk mengkritik serangan AS yang secara meluas dianggap melanggar undang-undang antarabangsa.

Namun, kritikan semakin meningkat apabila perang tersebut memberi kesan besar kepada ekonomi global akibat gangguan serius terhadap bekalan tenaga serantau.

Awal minggu ini, Merz membandingkan perang itu dengan konflik ketenteraan yang berlarutan seperti pencerobohan AS ke atas Iraq dan Afghanistan. – Agensi

Scroll to Top