Washington / New York: Ketegangan konflik ketenteraan yang semakin meruncing di Asia Barat telah menggoncang pasaran tenaga global susulan kebimbangan terhadap keselamatan bekalan, manakala lonjakan harga minyak mentah melonjakkan harga petrol di Amerika Syarikat (AS).
Keadaan itu memaksa rakyat Amerika menanggung beban kos akibat serangan bersama AS dan Israel ke atas Iran, lapor Anadolu Ajansi.
Sebagai tindak balas kepada serangan itu, tindakan Tehran menutup Selat Hormuz telah melumpuhkan trafik perkapalan yang melalui satu daripada titik transit minyak paling kritikal di dunia.
Lalu lintas kapal tangki di rantau itu terhenti sepenuhnya, sekali gus menjejaskan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak global serta penghantaran daripada pengeluar utama seperti Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Iraq.
Beberapa loji penapis minyak dilaporkan menghentikan pengeluaran sebahagiannya, manakala yang lain bertungkus-lumus untuk menambah stok simpanan mereka.
Serangan balas Tehran ke atas infrastruktur tenaga negara-negara jiran terus memburukkan lagi krisis bekalan itu.
Harga minyak mentah Brent meningkat kepada lebih AS$114 setong sejak konflik bermula, malah mencecah setinggi AS$120 pada Isnin.
Presiden AS, Donald Trump dalam satu temu bual bersama CBS News berkata peperangan itu mungkin berakhir tidak lama lagi, sambil menyatakan bahawa AS telah mencapai objektifnya lebih cepat daripada tempoh empat hingga lima minggu yang diramalkan sebelum ini.
Trump turut mencadangkan agar selat itu dirampas, untuk menurunkan harga minyak mentah Brent di bawah AS$84 setong.
Dalam satu sidang media di Miami, Trump mendakwa AS telah memusnahkan keupayaan nuklear dan peluru berpandu Iran serta pasukan tenteranya, selain menegaskan bahawa perang akan berakhir dalam masa terdekat.
Beliau turut mengugut tindakan ketenteraan lanjut jika Tehran terus mengganggu bekalan minyak global.
Penganalisis berpendapat harga minyak mentah Brent boleh mencecah sehingga AS$150 setong jika serangan ketenteraan di Asia Barat berterusan dan gangguan bekalan tidak dipulihkan.
Menurut Anadolu, setiap kenaikan AS$1 bagi setiap tong minyak akan mendorong kenaikan harga petrol di AS sebanyak 2.5 sen.
Data Persatuan Automobil Amerika (AAA) menunjukkan purata harga petrol di AS melonjak 16 peratus berbanding minggu lepas kepada AS$3.48 segelen. Sebagai perbandingan, purata harga petrol adalah AS$2.99 segelen seminggu lalu dan AS$2.9 sebulan lepas.
Harga petrol di AS berbeza mengikut negeri dengan California mencatatkan purata tertinggi pada AS$5.2 segelen, diikuti Washington (AS$4.63), Hawaii (AS$4.52), manakala Nevada dan Oregon mencatatkan harga melebihi AS$4 segelen.
Sebaliknya, purata harga petrol kekal di bawah AS$3 segelen di Arkansas, Missouri, Oklahoma, dan Kansas.
Kenaikan harga minyak bukan sahaja menjejaskan kenderaan penumpang, malah turut melonjakkan harga diesel yang merupakan nadi sektor logistik, serta bahan api jet bagi sektor penerbangan.
Ketika kapal tangki tersadai di Selat Hormuz yang mengakibatkan bekalan minyak mentah dunia mengecil, peningkatan kos tenaga kini menjadi tumpuan kerana ia mampu memberi kesan kepada keseimbangan makroekonomi.
Rizab Persekutuan (Fed) telah lama berusaha untuk menurunkan inflasi kepada sasaran dua peratus, namun lonjakan harga tenaga baru-baru ini mungkin memberi tekanan kenaikan semula.
Harga bahan api yang tinggi boleh meningkatkan kos logistik bagi makanan dan barangan keperluan asas lain berikutan lonjakan kos pengangkutan.
Indeks Harga Pengguna (IHP) AS meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun pada Januari, menunjukkan petanda perlahan, namun risiko kejutan tenaga yang berpanjangan boleh menyebabkan inflasi tersasar daripada sasaran yang ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




