Konflik Asia Barat berpotensi cetus gangguan besar operasi udara

Konflik Asia Barat berpotensi cetus gangguan besar operasi udara

Saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat berpotensi menyebabkan gangguan operasi terhadap perkhidmatan penerbangan antarabangsa tertentu.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan hari ini berkata, syarikat penerbangan yang beroperasi ke dan dari kawasan terjejas mungkin mengalami kelewatan, penjadualan semula waktu penerbangan, perubahan laluan atau pembatalan.

“Ini berikutan sekatan ruang udara yang sentiasa berubah serta pertimbangan operasi. Langkah berkenaan diambil demi kepentingan keselamatan dan bagi mematuhi keperluan penerbangan antarabangsa.

“Bagaimanapun CAAM sedang memantau situasi dengan teliti dan terus berhubung dengan syarikat penerbangan berkaitan bagi memastikan kepentingan penumpang sentiasa terpelihara,” katanya.

Media melaporkan, serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran semalam, mengakibatkan gangguan besar operasi penerbangan di seluruh Asia Barat serta antarabangsa, dengan lebih 1,800 penerbangan dibatalkan.

Serangan memaksa kebanyakan negara di Asia Barat menutup ruang udara mereka, antaranya Israel, Qatar, Syria, Iran, Iraq, Kuwait dan Bahrin.

Menurut laman sesawang penjejakan penerbangan FlightRadar24, tiada aktiviti penerbangan juga dilaporkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), selepas negara itu mengumumkan penutupan sementara dan separa ruang udara mereka.

Keadaan itu menyebabkan penutupan lapangan terbang utama di Dubai, Abu Dhabi dan Doha, serta pembatalan ribuan penerbangan oleh syarikat penerbangan utama Asia Barat.

Dalam pada itu, CAAM memohon semua syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan ke dan dari Malaysia untuk memaklumkan penumpang dengan segera mengenai sebarang perubahan waktu berlepas atau ketibaan termasuk kelewatan, penjadualan semula, perubahan laluan atau pembatalan.

“Selain itu, sediakan penjagaan, bantuan serta pilihan perjalanan yang bersesuaian kepada penumpang terjejas selaras dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).

“Syarikat penerbangan dijangka mengambil segala langkah munasabah bagi meminimumkan kesulitan serta memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan kawal selia pada setiap masa.

“Komunikasi yang jelas, tepat pada masanya dan telus sepanjang tempoh gangguan juga pastikan kekal,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, penumpang yang melakukan perjalanan ke, dari atau transit melalui kawasan terjejas dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan secara berkala terus dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum berlepas ke lapangan terbang.

“Selain itu, pastikan maklumat hubungan dalam rekod tempahan adalah tepat dan dikemas kini bagi menerima sebarang notifikasi.

“Hubungi syarikat penerbangan secara langsung untuk pilihan penjadualan semula, bayaran balik atau bantuan lanjut sekiranya berlaku gangguan.

“Penumpang yang merasakan hak mereka di bawah MACPC tidak dipatuhi hendaklah terlebih dahulu mendapatkan penyelesaian dengan syarikat penerbangan berkenaan dan jika masih tidak selesai, aduan boleh dikemukakan melalui saluran rasmi pengguna CAAM untuk tindakan lanjut.

“CAAM akan terus memantau perkembangan di rantau berkenaan dan bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memastikan operasi penerbangan kekal selamat serta hak pengguna terus dilindungi,” menurut kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top