Konflik Asia Barat: “Doakan kami dapat balik beraya”- Farah Lee kongsi situasi, bunyi letupan

Konflik Asia Barat: “Doakan kami dapat balik beraya”- Farah Lee kongsi situasi, bunyi letupan

Aktivis kemanusiaan, Farah Lee berkongsi situasi terkini dirinya yang kini berada di Damascus, Syria susulan bunyi letupan dipercayai serangan udara yang kedengaran berhampiran lokasi penginapannya.

Farah atau nama sebenarnya Nurfarahin Romli, 37, berada di negara bergolak itu sejak beberapa hari lalu bagi menyampaikan bantuan iftar, pek makanan serta sumbangan Ramadan menerusi pertubuhan kebajikannya, Childrity.

Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, Farah memaklumkan dia berada di luar ketika bunyi letupan pertama kedengaran.

“Baik, Farah di luar sekarang. Seperti kalian tahu, Farah sekarang dekat Syria dan berada di luar tadi.
“Ada bunyi bom dan sebenarnya lebih kurang 15 minit sebelum itu memang ada bunyi bom yang lebih kuat serta terasa gegarannya,” katanya.

‘Doakan kami dapat balik beraya…’

Menurutnya, kira-kira 15 minit sebelum itu, satu lagi letupan yang lebih kuat turut berlaku sehingga gegarannya dapat dirasai.

Dalam masa sama, Farah memaklumkan penerbangannya pulang ke Malaysia terpaksa dibatalkan susulan penutupan ruang udara.

Penerbangan ke Istanbul dan seterusnya ke Kuala Lumpur juga masih belum dapat dipastikan.

“Tadi kami juga dapat tahu yang flight telah dibatalkan. Penerbangan ke Istanbul dan dari Istanbul ke KL pun belum tentu macam mana keadaannya.
“Tapi Insya-ALLAH semuanya okey. Kami di sini selamat sahaja, tak ada apa-apa. Cuma kami terkandas sebab ruang udara ditutup. Itu sahaja. Kami di sini baik-baik sahaja,” jelasnya.

Bagaimanapun, Farah menegaskan keadaan di Syria setakat ini tidak terjejas secara langsung di kawasan mereka berada.

Artikel lain: Farah Lee enggan kongsi konten mengarut – “Saya takde masa nak kacip”

Dia turut memohon orang ramai mendoakan agar konflik melibatkan Israel, Iran dan negara-negara terlibat tidak berlarutan.

“Syria setakat ini tidak terjejas. Jadi doakan supaya perkara ini tidak berlarutan dan kami dapat balik beraya di Malaysia Insya-ALLAH.
“Kami semua okey di sini, tak ada masalah. Cuma ada gegeran dan bunyi bom sahaja. Alhamdulillah.
“Doakan supaya serangan-serangan ini tidak berlanjutan, supaya penerbangan kami dapat diteruskan dan kami dapat pulang ke Malaysia dengan selamat Insya-LLAH. Farah pun tak tahu lagi bila boleh balik,” ujarnya lagi.

Menutup perkongsian video berdurasi kira-kira dua minit itu dengan doa hasbiallah wanikmal wakeel, Farah menzahirkan harapan agar segala urusan dipermudahkan.

Sumber: FB Farah Lee

Scroll to Top