Konflik Asia Barat: Harga hotel UAE jatuh merundum

Konflik Asia Barat: Harga hotel UAE jatuh merundum
Konflik Asia Barat: Harga hotel UAE jatuh merundum

Hotel lima bintang di Abu Dhabi pula menurunkan harga kira-kira separuh hingga dua pertiga berkuat kuasa sepanjang April.

ISTANBUL – Harga di kebanyakan hotel bertaraf empat bintang di Dubai dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) jatuh sehingga 75 peratus pada April kepada sekitar US$50 (RM196.60) hingga US$60 (RM236) satu malam.

Sementara hotel lima bintang turun lebih 66 peratus kepada US$100 (RM393) hingga US$150 (RM589.90) susulan peningkatan ketegangan di rantau itu, menurut laporan RIA Novosti.

Agensi itu menganalisis tawaran hotel untuk dua penginap setakat awal April.

Secara khusus di Abu Dhabi, bilik dua orang di hotel empat bintang Mercure berharga US$54 (RM212) berbanding sekurang-kurangnya US$200 (RM786.50) hingga US$250 (RM983) pada Januari dan Februari.

Situasi sama dilihat di hotel TRYP by Wyndham dengan harga bermula US$57 (RM224), Ramada Downtown US$54 (RM212) dan La Quinta by Wyndham US$61 (RM239.90).

Hotel lima bintang di Abu Dhabi pula menurunkan harga kira-kira separuh hingga dua pertiga dengan Rixos Marina menawarkan bilik bermula US$225 (RM884.80), Ritz-Carlton US$231 (RM908), Shangri-La US$201 (RM790) dan Radisson US$125 (RM491.60) dengan harga itu berkuat kuasa sepanjang April.

Di Dubai, situasinya sama dengan hotel empat bintang menawarkan bilik pada purata US$50 (RM196.60) hingga US$60 (RM236) termasuk Stella Di Mare, Time Oak dan Hyatt Place.

Bilik di hotel lima bintang Dusit Thani bermula US$95, manakala Hilton Jumeirah sekurang-kurangnya US$155, Pullman Jumeirah US$90 (RM373.60), Radisson Blu US$87 (RM342) dan Movenpick Jumeirah US$167 (RM656.70).

Suhu siang di UAE pada April berada dalam lingkungan 25 hingga 30 darjah Celsius.

Pada 28 Februari lalu, Amerika Syarikat (AS) dan Israel mula melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran termasuk Teheran, dengan laporan kerosakan dan korban awam.

Iran kemudian membalas dengan melancarkan serangan ke atas wilayah Israel serta sasaran ketenteraan AS di rantau Asia Barat.- Bernama-Sputnik/Ria Novosti

Ringkasan AI

  • Harga hotel 4 bintang di Dubai dan Abu Dhabi jatuh sehingga 75 peratus pada April
  • Hotel 5 bintang mengalami penurunan harga lebih 66 peratus
  • Penurunan disebabkan oleh peningkatan ketegangan di rantau itu
  • Hotel empat bintang di Abu Dhabi menawarkan bilik dari US$54
  • Suhu siang di UAE pada April adalah dalam lingkungan 25 hingga 30 darjah Celsius
Scroll to Top