– Detik ke arah sekatan AS di Teluk
Tentera Amerika Syarikat (AS) memaklumkan pada Ahad bahawa ia akan melaksanakan sekatan ke atas semua pelabuhan Iran di Teluk bermula Isnin jam 10 malam waktu Malaysia, sekali gus mengawal pergerakan maritim di Selat Hormuz — laluan penting yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
US Central Command menyatakan sekatan itu akan dilaksanakan secara adil terhadap kapal dari semua negara yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran, termasuk di Teluk Arab dan Teluk Oman.
Bagaimanapun, kebebasan pelayaran bagi kapal yang tidak menuju ke pelabuhan Iran akan terus dibenarkan.
– Iran tidak akan tunduk
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf yang mengetuai rundingan damai dengan AS di Pakistan menegaskan negaranya tidak akan tunduk kepada ancaman.
“Jika mereka berperang, kami akan berperang. Jika mereka menggunakan logik, kami juga akan bertindak secara logik,” katanya, sambil menambah Iran tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan.
– Lubnan usaha pastikan Israel berundur
Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam berkata beliau sedang berusaha menghentikan konflik antara Israel dan Hezbollah serta memastikan pengunduran tentera Israel.
– Netanyahu dakwa ancaman pencerobohan dihapuskan
Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu berkata tenteranya telah menghapuskan ancaman pencerobohan oleh Hezbollah di selatan Lubnan, namun operasi ketenteraan masih diteruskan.
– Kereta kebal Israel rempuh kenderaan PBB
UNIFIL melaporkan sebuah kereta kebal Israel merempuh kenderaan pasukan pengaman dua kali di selatan Lubnan. Tentera Israel juga dilaporkan menyekat laluan ke lokasi pasukan PBB di Bayada.
– Trump arah sekatan
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengarahkan tentera laut AS menyekat semua kapal yang membayar tol kepada Iran, dengan memberi amaran bahawa kapal tersebut tidak akan mendapat laluan selamat.
– Iran beri amaran balas
Pengawal Revolusi Iran menyatakan mereka menguasai sepenuhnya Selat Hormuz dan memberi amaran bahawa musuh akan terperangkap dalam situasi berbahaya jika melakukan kesilapan.
Ketua tentera laut Iran, Shahram Irani, menyifatkan ancaman Trump sebagai tidak masuk akal sambil menegaskan pihaknya memantau pergerakan tentera AS di rantau itu.
– Korban di Lubnan meningkat
Media rasmi Lubnan melaporkan serangan udara Israel berterusan di selatan negara itu, dengan sekurang-kurangnya lima maut, menjadikan jumlah keseluruhan korban di kawasan tersebut meningkat kepada 2,055 orang.
Israel menegaskan gencatan senjata Asia Barat ketika ini tidak melibatkan operasi ketenteraannya di Lubnan yang menyasarkan Hezbollah.
– Trump ancam China
Trump turut mengancam untuk mengenakan tarif 50 peratus ke atas barangan dari China jika Beijing membantu Iran dari segi ketenteraan.
– Korban di Iran
Ketua organisasi Perubatan Perundangan Iran, Abbas Masjedi melaporkan seramai 3,375 orang terbunuh dalam konflik melibatkan Iran, AS dan Israel.
– Seruan gencatan senjata dan usaha mediasi
Menteri Luar Pakistan menggesa gencatan senjata dua minggu antara Washington dan Tehran diteruskan.
Presiden Rusia, Vladimir Putin, turut menyatakan kesediaan membantu usaha damai kepada rakan sejawatnya dari Iran.
Sumber: AFP


