Konflik Asia Barat: Iran beri amaran kepada negara Islam halang serangan AS-Israel

Konflik Asia Barat: Iran beri amaran kepada negara Islam halang serangan AS-Israel
Konflik Asia Barat: Iran beri amaran kepada negara Islam halang serangan AS-Israel

Ibrahim Zolfaghari. Foto: Agensi

TEHERAN – Angkatan tentera Iran memberi amaran kepada negara-negara Islam di rantau Asia Barat supaya menghalang Amerika Syarikat (AS) dan Israel daripada melancarkan serangan terhadap infrastruktur tenaga awam negara itu atau berdepan tindakan balas yang sama di rantau berkenaan.

Jurucakap Markas Pusat Khatam al-Anbiya Iran, Leftenan Kolonel Ibrahim Zolfaghari berkata, kerajaan negara-negara Islam dijangka bertindak segera memberi amaran kepada AS dan Israel agar menghentikan tindakan yang disifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.

Menurutnya, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan konflik terus merebak dan memaksa Iran bertindak balas dengan langkah yang sama.

“Iran setakat ini menunjukkan sikap menahan diri dan kesabaran strategik walaupun mempunyai keupayaan risikan dan serangan yang canggih.

“Kami sengaja tidak bertindak balas bagi menghormati kepentingan rakyat Muslim di negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Zolfaghari turut mendakwa serangan berterusan oleh AS dan Israel tidak membawa sebarang keuntungan ketenteraan selain mengorbankan orang awam yang tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak.

Beliau berkata, serangan tersebut kini semakin meningkat apabila kemudahan bahan api, tenaga serta pusat perkhidmatan awam yang penting kepada rakyat Iran turut menjadi sasaran.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kemungkinan kesan terhadap pasaran global jika konflik terus memuncak.

“Jika dunia sanggup melihat harga minyak melebihi AS$200 setong, teruskan permainan ini,” katanya.

Sementara itu, Syarikat Penapisan dan Pengedaran Minyak Kebangsaan Iran memaklumkan bahawa AS dan Israel didakwa melancarkan serangan peluru berpandu ke atas depot minyak di wilayah Teheran dan Alborz lewat Sabtu sebagai sebahagian daripada serangan terhadap infrastruktur negara tersebut.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei dalam hantaran di platform X pada Ahad pula mendakwa serangan terhadap kemudahan penyimpanan bahan api itu sebagai “perang kimia yang disengajakan” terhadap rakyat Iran.

Menurutnya, tindakan tersebut menandakan konflik antara Iran dengan AS dan Israel kini memasuki fasa baharu yang lebih berbahaya selepas infrastruktur tenaga negara itu menjadi sasaran serangan. – Agensi 

Ringkasan AI

  • Angkatan tentera Iran memberi amaran kepada negara-negara Islam di Asia Barat agar menghalang AS dan Israel daripada menyerang infrastruktur tenaga awam Iran
  • Iran menunjukkan sikap menahan diri walaupun memiliki keupayaan risikan dan serangan yang canggih untuk menghormati kepentingan rakyat Muslim di negara jiran
  • Serangan oleh AS dan Israel meningkat ke atas kemudahan bahan api, tenaga dan pusat perkhidmatan awam Iran, mengorbankan orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak
  • Iran memberi amaran tentang kesan serangan terus-menerus terhadap pasaran global, dengan menyatakan harga minyak boleh melebihi AS$200 setong
  • Serangan peluru berpandu oleh AS dan Israel ke atas depot minyak di Teheran dan Alborz dilaporkan sebagai bagian dari serangan terhadap infrastruktur negara, disifatkan sebagai “perang kimia yang disengajakan” terhadap rakyat Iran
Scroll to Top