Konflik Asia Barat: Kos bahan binaan boleh melonjak hingga 40 peratus jika perang berterusan

Konflik Asia Barat: Kos bahan binaan boleh melonjak hingga 40 peratus jika perang berterusan

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Industri pembinaan negara dijangka berdepan kenaikan kos bahan binaan antara lima hingga 15 peratus pada kadar minimum dan boleh mencecah sehingga 30 hingga 40 peratus jika konflik di Asia Barat berlarutan, sekali gus memberi tekanan besar kepada keseluruhan rantaian industri.

Pengerusi Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM) Negeri Perak merangkap Ahli Jawatankuasa Pusat, Mohd Hawarie Tan Muzi berkata, unjuran itu bergantung kepada tempoh konflik, gangguan rantaian bekalan global serta peningkatan kos bahan api yang terus menekan kos operasi pembinaan.

Katanya, kenaikan itu bukan sahaja membabitkan bahan binaan utama, malah turut dipacu peningkatan kos logistik, pengangkutan serta kos sewaan mesin dan jentera pembinaan.

“Sekiranya konflik berpanjangan dan kos bahan api terus meningkat, tekanan kos ini akan dirasai secara menyeluruh dalam industri, termasuk kepada kontraktor, pemaju dan juga pengguna akhir,” katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata demikian ketika mengulas impak semasa terhadap industri pembinaan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Mengulas lanjut, Mohd Hawarie berkata, kenaikan kos bahan binaan sehingga 30 hingga 40 peratus ketika ini sudah memberi tekanan besar kepada projek sedia ada, khususnya yang dimeterai lebih awal tanpa mengambil kira kenaikan kos semasa.

Katanya, kebanyakan kontraktor terpaksa menyerap peningkatan kos berkenaan tanpa pelarasan harga kontrak, sekali gus menyebabkan margin keuntungan mengecil dan dalam keadaan tertentu berisiko mengalami kerugian.

“Selain itu, peningkatan kos bahan turut memberi kesan kepada aliran tunai projek kerana kontraktor perlu menyediakan modal tambahan untuk pembelian bahan.

“Ia juga boleh menyebabkan penyusunan semula jadual kerja, kelewatan pembelian bahan serta pelaksanaan projek yang lebih berhati-hati,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kontraktor kecil dan sederhana adalah golongan paling terkesan berikutan kekangan modal kerja serta kebergantungan kepada aliran tunai projek.

Katanya, kenaikan kos bahan api turut meningkatkan kos pengangkutan dan sewaan jentera seperti excavator, kren dan peralatan berat lain yang bergantung kepada penggunaan bahan api serta kos penyelenggaraan.

“Jika keadaan ini berlanjutan, kontraktor kecil berisiko menghadapi kelewatan kerja, pengurangan kapasiti operasi serta kesukaran mengekalkan kos projek dalam bajet asal,” katanya.

Mengulas mengenai kesan kepada pasaran, beliau berkata, pelarasan harga rumah bagi projek baharu mungkin tidak dapat dielakkan sekiranya tekanan kos berterusan.

Katanya, situasi itu boleh menjejaskan kemampuan pembeli terutama golongan berpendapatan sederhana dan pembeli rumah pertama, selain memberi kesan kepada individu yang ingin membina rumah di atas tanah sendiri.

“Dalam jangka panjang, keadaan ini berpotensi memperlahankan pasaran perumahan serta menjejaskan perancangan pembangunan termasuk penyediaan rumah mampu milik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah segera termasuk pelarasan harga kontrak bagi projek sedia ada, pemantauan harga bahan binaan, serta mempercepatkan bayaran tuntutan kepada kontraktor bagi memastikan aliran tunai kekal stabil.

Beliau berkata, sokongan pembiayaan kepada kontraktor kecil dan sederhana serta galakan penggunaan bahan tempatan dan kaedah pembinaan lebih efisien juga boleh membantu mengurangkan tekanan kos dalam industri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top