Konflik Asia Barat: Negara Asia laksanakan langkah penjimatan drastik

Konflik Asia Barat: Negara Asia laksanakan langkah penjimatan drastik

Colombo: Perang Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran kini mula memberi impak besar kepada landskap ekonomi di rantau Asia sehingga memaksa beberapa negara mengambil langkah penjimatan luar biasa.

Sri Lanka menjadi negara terbaharu mengisytiharkan Rabu sebagai cuti mingguan tambahan bagi semua institusi awam dalam usaha mengurangkan penggunaan bahan api susulan kebimbangan terhadap gangguan bekalan yang meruncing.

Presidennya, Anura Kumara Dissanayake, menegaskan bahawa langkah itu adalah persediaan menghadapi kemungkinan terburuk meskipun kerajaan tetap mengharapkan penyelesaian terbaik bagi krisis berkenaan.

Di Thailand, kerajaan mula menggalakkan rakyatnya menukar gaya berpakaian dengan memakai kemeja lengan pendek bagi menggantikan sut formal bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan penyaman udara.

Langkah berbeza diambil oleh Myanmar apabila pihak berkuasa hanya membenarkan kenderaan persendirian beroperasi pada hari-hari tertentu mengikut sistem nombor plat bagi mengawal penggunaan petrol.

Bangladesh pula dilaporkan mempercepatkan cuti Ramadan baru-baru ini bagi peringkat universiti, selain memperkenalkan sistem gangguan bekalan elektrik terancang di seluruh negara demi menjimatkan tenaga.

Filipina turut tidak ketinggalan apabila mewajibkan kakitangan awam bekerja dari rumah sekurang-kurangnya sehari seminggu, selain mengharamkan perjalanan tidak penting bagi sektor awam.

Menurut laporan BBC, Kerajaan Filipina juga menyediakan bantuan tunai antara 3,000 hingga 5,000 peso kepada pemandu beca, petani, dan nelayan bagi meringankan beban kenaikan harga minyak.

Vietnam pula menyeru rakyatnya untuk lebih banyak berada di rumah, menggunakan basikal atau pengangkutan awam serta menggalakkan amalan berkongsi kereta bagi mengekang penggunaan kenderaan persendirian.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Indonesia mengehadkan kenaikan tambang penerbangan domestik antara sembilan hingga 13 peratus untuk memastikan tiket mampu dibeli oleh orang ramai susulan pengenalan langkah untuk mengurangkan tekanan kos ke atas syarikat penerbangan berikutan lonjakan harga bahan api jet.Sementara itu, Reuters melaporkan Sri Lanka pada 6 April menaikkan harga gas petroleum cecair (LPG) kepada hampir satu perempat dengan alasan kenaikan harga global yang dicetuskan oleh konflik di Iran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top