Konflik Asia Barat: Presiden India hubungi PM Anwar, sepakat seru redakan ketegangan

Konflik Asia Barat: Presiden India hubungi PM Anwar, sepakat seru redakan ketegangan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi bagi membincangkan perkembangan terkini konflik di Asia Barat yang semakin meruncing.

Konsisten kutuk serangan terhadap Iran

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten mengutuk tindakan pengeboman oleh Israel terhadap Iran yang didukung Amerika Syarikat.

“Perbincangan kami bertumpu pada perkembangan mutakhir di Asia Barat yang kian memburuk, apatah lagi di bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi medan damai dan ketenangan,” kata beliau.
Dalam masa sama, kedua-dua pemimpin sepakat menyeru agar pertempuran dihentikan segera serta mengutamakan usaha damai melalui diplomasi dan dialog.
Malaysia dan India turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama di pentas antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS, khususnya dalam menangani cabaran global seperti ketidaktentuan ekonomi dan keterjaminan makanan.
“Insya-Allah, Malaysia dan India akan terus memperkukuh iltizam bersama demi keamanan sejagat,” katanya.

Bincang konflik yang semakin membimbangkan

Modi juga turut memuat naik hantaran di platform X menyampaikan ucapan sempena Aidilfitri selain membincangkan situasi semasa yang semakin membimbangkan susulan konflik di rantau berkenaan.

“Bercakap dengan rakan saya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dari Malaysia, dan menyampaikan salam hangat kepada beliau serta rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang,” kata Modi dalam laman X beliau.
“Kami juga membincangkan situasi yang amat membimbangkan di Asia Barat dan mengesahkan semula komitmen bersama kami untuk mengendurkan ketegangan serta pemulihan awal keamanan dan kestabilan melalui dialog serta diplomasi,” katanya.

Scroll to Top