am@hmetro.com.my
Rembau: Tujuh kapal tangki milik syarikat Malaysia kini hanya menunggu isyarat untuk bergerak melalui Selat Hormuz susulan situasi tegang di Asia Barat, menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, tujuh kapal terbabit membabitkan tiga milik PETRONAS, MISC Bhd (dua) dan masing-masing satu kapal membabitkan SAPURA Energy dan Syahpadu Corporation Sdn Bhd.
Katanya, kapal-kapal berkenaan tidak ditahan sebaliknya hanya menunggu isyarat dan masa sesuai untuk bergerak pada bila-bila masa bagi memastikan keselamatan pelayaran.
“Kerajaan Malaysia juga melakukan rundingan awal bersama pihak Iran yang memberi maklum balas positif terhadap permohonan berkenaan.
“Saya sendiri membuat langkah rundingan bersama rakan sejawat dan perkara ini disusuli dengan panggilan oleh Perdana Menteri kepada Presiden Iran yang menguatkan lagi permohonan kita.
“Iran sendiri menyatakan tiada isu untuk membenarkan kapal kita melalui Selat Hormuz dan buat masa sekarang ini yang dilepaskan adalah kapal yang membawa kargo manakala bagi kapal tangki, mereka perlu tunggu dahulu,” katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Tanjong Rantau, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan tujuh kapal milik syarikat Malaysia dengan empat daripadanya sarat membawa muatan minyak mentah dilaporkan terkandas di Selat Hormuz dan belum dapat meneruskan pelayaran pulang ke negara ini.
Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah dilaporkan berkata, dua lagi adalah kapal pemasangan paip dan kapal sokongan luar pesisir.
Sementara itu, Mohamad berkata perhubungan dengan rakyat Malaysia di Iran ketika ini terhad berikutan gangguan sistem komunikasi, namun pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan di negara berkenaan melalui alternatif yang ada.
“Kita akan sentiasa memantau keadaan semasa di Iran dan sedia membantu sekiranya ada permohonan dari rakyat negara ini yang ingin pulang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




