Konflik yang berlaku di negara jiran, Indonesia baru-baru ini membuka mata masyarakat Malaysia bahawa hidup aman damai di negara ini wajar disyukuri.
Menerusi hantran di Threads, pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin kelihatan tidak melepaskan peluang untuk berkongsi rezeki bersama pemandu ojek atau penghantar makanan di sana susulan mereka kini sedang berdepan gelombang protes besar-besaran.
Dalam perkongsian tersebut, Sarah dilihat memesan enam pek soto bernilai Rp192,000 bersamaan RM50 melalui aplikasi e-hailing makanan.
Malah, pelakon drama rantaian Sekam Di Dada itu turut berkongsi tangkap layar berupa pesanan mesej yang diterimanya daripada pemandu ojek berkenaan.
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata netizen memuji sikap prihatin yang ditunjukkan Puteri Sarah dek kerana sanggup menghulurkan bantuan demi meringankan beban rakyat Indonesia yang kini berdepan rusuhan.
Sekadar info, beberapa kawasan di negara itu terjejas susulan pengumuman Presiden Prabowo Subianto mengenai kenaikan elaun Ahli Parlimen sehingga mencecah sekitar Rp50 juta sebulan (RM12,869.35).
Keadaan bertambah tegang selepas seorang pemandu ojek, Affan Kurniawan, dilaporkan maut akibat digilis trak ‘Barracuda’ sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Indonesia.




