Konflik Gaza berterusan ancam keselamatan negara Arab

Konflik Gaza berterusan ancam keselamatan negara Arab

KAHERAH – Mesir dan Iran memberi amaran tentang risiko perluasan konflik di Timur Tengah di tengah-tengah serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry berkata, Kaherah amat bimbang tentang perluasan konflik di rantau ini, yang membayangkan akibat serius terhadap keselamatan dan kestabilan beberapa negara Arab.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Iran, Hossein Amir-Abdollahian di luar Segmen Peringkat Tinggi (HLS) sesi ke-55 Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) dan Persidangan Perlucutan Senjata di Geneva.

“Kerumitan krisis di rantau ini memberi bayangan kepada kestabilan untuk semua rakyat di rantau ini,” tambahnya.

Diplomat tertinggi itu juga menyatakan kebimbangan negaranya terhadap ketegangan ketenteraan di Laut Merah, “yang menimbulkan ancaman serius kepada trafik perkapalan antarabangsa dan menyebabkan kemudaratan kepada kepentingan sejumlah besar negara, termasuk Mesir.

“Ini memerlukan kerjasama semua negara di rantau ini untuk menyokong kestabilan dan keamanan serta menghapuskan ketegangan dan konflik di rantau itu,” tambah Shoukry.

Kumpulan Houthi di Yaman telah menyasarkan kapal kargo di Laut Merah yang dimiliki atau dikendalikan oleh syarikat Israel atau mengangkut barang ke dan dari Israel sebagai solidariti dengan Semenanjung Gaza, yang berada di bawah serangan Israel sejak 7 Oktober lalu.

Menteri Mesir dan Iran membincangkan usaha mencapai gencatan senjata di Gaza dan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke kawasan Palestin.

Kenyataan itu turut mengulangi pendirian Mesir dan Iran yang menolak secara mutlak terhadap mana-mana plot untuk memindahkan rakyat Palestin dari tanah mereka.

Mesir, bersama Qatar dan Amerika Syarikat (AS) menjadi pengantara antara Hamas dan Israel untuk menamatkan serangan maut Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023. – Agensi