am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati semua pihak termasuk rakyat untuk mengurus perbelanjaan dengan berhemat, susulan konflik Iran dan Amerika Syarikat (AS) yang masih berlarutan.
Menurutnya, beliau memahami keselesaan yang dinikmati Malaysia ketika ini, namun kerajaan bertanggungjawab untuk mengingatkan bahawa keadaan boleh berubah dalam situasi antarabangsa yang sudah tidak menentu.
Katanya, sekiranya masih berada pada tahap terlalu selesa dan tidak mengendahkan soal kewangan, ia dibimbangi kerajaan tidak mampu menguruskan kegawatan ekonomi yang akan berlaku kelak
“Hal ini bukan berlaku untuk satu negara malah puluhan negara terlibat. Dalam peperangan pun, puluhan negara juga yang terkesan, harga barang juga meningkat tinggi.
“Jadi sementara keadaan sekarang terkawal, saya bertanggungjawab mengingatkan rakan-rakan supaya cermat, boleh simpan-simpan (menabung).
“Dalam bulan puasa, raya, jangan boros tak tentu arah kerana kita belum dapat jangka keadaan ekonomi berapa lama boleh bertahan. Pandai-pandai urus ekonomi.
“Kalau datang kegawatan yang begitu rupa, tidak mudah kita selesaikan. Rakyat kena sama-sama sedar dan bantu membantu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi, Permatang Pauh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang mencari jalan untuk mempertahankan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, meskipun tidak pasti dalam tempoh berapa lama berikutan sekatan di Teluk Hormuz.
“Harga minyak sekarang melonjak dua kali ganda, yang saya kini nak pertahankan RM1.99 . Doa mudah-mudahan boleh kita pertahan yang tidak tahu berapa lama.
“Lebih 200 tangki besar yang mengangkut gas, minyak dan peralatan kejuruteraan yang lain terbantut di situ (Teluk Hormuz) kerana kezaliman yang berpunca daripada Israel yang disokong Amerika yang menyebabkan kos telah meningkat.
“Ia termasuk juga dengan makanan, baja yang dibawa sepatutnya dari Ukraine, Rusia, Eropah… semuanya sekarang ini melambung tinggi kosnya gara-gara sekatan itu,” katanya.
Teluk Hormuz adalah selat sempit antara Iran dan Oman yang mempunyai kelebaran 55 kilometer dan merupakan antara laluan perkapalan utama bagi sektor industri gas dan minyak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




