khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Konflik perang antara Iran dan Israel berkemungkinan akan menyebabkan harga barang keperluan di negara ini turut meningkat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Dr Afzanizam Abdul Rashid berkata, ia susulan peningkatan kos pengangkutan dan insurans membabitkan kapal dari seluruh dunia, berikutan keperluan untuk mencari laluan laut di luar kawasan konflik.
“Sudah tentu kenaikan kos ini akan menterjemahkan harga barang yang mungkin meningkat.
“Barang yang meningkat ini adalah barang yang diimport seperti produk agro makanan, barang binaan, baja, barang pengguna dan pelbagai lagi,” katanya kepada Harian Metro hari ini.
Pada malam 13 Jun, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan operasi berskala besar dinamakan Rising Lion, membabitkan serangan udara ke atas sasaran ketenteraan dan kemudahan program nuklear Iran.
Tentera Udara Israel melancarkan beberapa gelombang serangan di pelbagai lokasi di Iran, termasuk Tehran, yang menyebabkan kematian beberapa pegawai kanan tentera Iran termasuk Ketua Turus Angkatan Bersenjata Iran dan panglima tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) serta beberapa saintis nuklear.
Mengulas lanjut, Afzanizam berkata, konflik itu turut menyebabkan tahap ketidakpastian ekonomi semakin meningkat kerana kemungkinan Amerika Syarikat (AS) akan membantu Israel dalam kempen perang mereka terhadap Iran.
“Namun kesannya terhadap harga minyak mentah masih lagi dilihat terkawal,” katanya.
Menurutnya, sentimen pasaran juga berada dalam keadaan berjaga-jaga pada masa ini.
Sementara itu Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid turut berkongsi kebimbangan sama dengan menyifatkan konflik antara Iran dan negara haram Israel yang berterusan dalam jangka masa lama akan menjejaskan ekonomi dunia.
“Pertamanya, harga minyak dan gas dunia akan naik. Pada minggu ini, ia telah pun melonjak tinggi apabila berlakunya serangan Israel terhadap Iran.
“Ugutan Iran untuk menutup Selat Hormuz iaitu laluan aliran bekalan minyak yang penting membabitkan negara-negara Arab pengeluar minyak seperti Bahrain, Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman mungkin memberikan kesan besar kepada ekonomi dunia.
“Sekitar 30 peratus daripada bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz ini,” katanya.
Beliau turut mengambil contoh kesan yang dialami beberapa tahun lalu apabila tercetusnya perang Rusia dan Ukraine apabila harga minyak mentah serta komoditi lain terus melonjak tinggi hingga melebihi AS$110 setong.
“Kesan yang sama akan berlaku iaitu peningkatan kadar inflasi dunia apabila harga minyak mentah naik dan Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini.
“Sekiranya Selat Hormuz ditutup Iran, maka negara-negara Teluk itu terpaksa mencari jalan lain untuk menyalurkan bekalan minyak dan gas mereka keluar kepada pembeli sama ada melalui jalan darat dan sebagainya,” katanya.
Katanya, ini menyebabkan peningkatan kos logistik dan pengangkutan yang tinggi ke atas komoditi tenaga utama dunia itu.
“Dengan peningkatan harga minyak, maka kos pengangkutan keseluruhan barangan lain sama ada kargo laut dan udara turut akan naik.
“Kenaikan ini akan dialihkan oleh pengusaha kepada pengguna yang perlu membayar harga lebih tinggi untuk keperluan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



