Dubai: Gangguan terbesar terhadap pengangkutan udara global sejak pandemik Covid terus menjejaskan perjalanan untuk hari kedua pada Ahad.
Ribuan penerbangan terjejas, manakala hab udara yang sibuk termasuk Dubai dan Doha terpaksa ditutup apabila Iran membalas serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel.
Penumpang dari seluruh dunia terkandas ketika syarikat penerbangan cuba mengubah laluan penerbangan mengelilingi Asia Barat, yang mana kebanyakan negara sudah menutup sebahagian atau sepenuhnya ruang udara
apabila Iran melancarkan serangan balas terhadap bandar-bandar Teluk.
Tehran menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai- lapangan terbang paling sibuk di dunia untuk trafik antarabangsa dan lapangan terbang utama Kuwait dalam serangan balasnya sehari sebelum itu.
Iran, Iraq, Israel, Syria, Kuwait, Qatar, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut mengumumkan penutupan sekurang-kurangnya sebahagian daripada ruang udara mereka.
“Tiada krisis lain sebesar ini sejak Covid-19,” kata Didier Brechemier, pakar di firma perunding perniagaan Roland Berger, kepada AFP.
Beliau berkata, malah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sebelum ini juga tidak menjejaskan hab penerbangan utama di Asia Barat, yang menjadi laluan transit penting bagi kebanyakan penumpang ke destinasi di Asia.
Firma analitik penerbangan Cirium berkata lebih 1,500 penerbangan ke Asia Barat dibatalkan pada Ahad, iaitu lebih 40 peratus daripada jumlah penerbangan yang dijadualkan.
Laman web penjejakan penerbangan FlightAware pula memaklumkan lebih 2,700 penerbangan dibatalkan di seluruh dunia dan lebih 12,300 lagi mengalami kelewatan setakat jam 5.20 petang waktu GMT pada Ahad.
“Kos kerugian ‘sudah pun mencecah beratus-ratus juta euro bagi sektor pengangkutan udara,’ kata Ketua Pegawai Eksekutif firma perunding Protourisme, Didier Arino.
Bagi sebahagian penumpang, gangguan penerbangan ini bukan sekadar menyusahkan kerana terkandas, malah kesannya jauh lebih buruk daripada itu.
Penyanyi rap Itali, BigMama yang dalam penerbangan dari Male, Maldives berkata, pesawat dilencongkan ke sebuah kawasan padang pasir berhampiran Dubai-salah satu bandar yang menjadi sasaran Iran dalam siri serangan balasnya.
“Kami asyik mendengar bunyi peluru berpandu di ruang udara. Saya sangat takut,” kongsi artis itu dalam satu video penuh emosi di Instagram pada Sabtu.
“Kami langsung tidak dapat tidur semalam.
‘Kami masih belum mendapat sebarang berita. Kami cuma mahu pulang ke rumah,” tulisnya dalam satu mesej baharu pada Ahad.
Seorang penumpang di lapangan terbang utama antarabangsa Johannesburg berkata, dia terpaksa bekerja esok, tetapi terperangkap selepas pesawat Emirates ke London dibatalkan.
“Saya cuba… menempah tiket dengan beberapa penyedia dan harganya naik setiap 10, 20 minit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




