
Hannah (tiga kiri) bersama peserta Kejohanan Sukan Tempur Peringkat Kebangsaan di Bukit Jalil pada Sabtu. Foto Bernama.
MALAYSIA berharap konflik antara Thailand dan Kemboja tidak berlarutan menjelang penganjuran Sukan SEA 2025 di negara jiran tersebut pada Disember depan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Malaysia menerusi Kementerian Luar Negeri (KLN) akan terus memantau perkembangan tersebut, namun setakat ini, tiada perubahan dalam perancangan kontinjen negara.
“Bagi KBS dan MSN (Majlis Sukan Negara), kami bukan hanya mengikuti perkembangan luar, tetapi juga bergantung kepada panduan KLN. Buat masa ini, tiada perubahan. Persiapan (ke Sukan SEA) tetap diteruskan seperti biasa,” katanya.
Beliau ditemui media selepas merasmikan Kejohanan Sukan Tempur Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu.
Kejohanan itu menghimpunkan seramai 2,000 atlet dari seluruh negara yang bertanding dalam lima disiplin utama sukan tempur iaitu silat, wushu, karate, muay thai dan gusti.
Hannah menjelaskan bahawa meskipun belum ada sebarang perubahan rasmi daripada KLN, kerajaan sentiasa mengikut rapat situasi semasa dengan teliti termasuk mendapatkan maklumat terkini daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mesyuarat Kabinet.
“Kami sememangnya bimbang dengan konflik semasa, tetapi saya yakin perdana menteri sedang melakukan yang terbaik untuk berunding dengan kedua-dua negara terbabit. Semalam (Jumaat) juga telah dikemaskini dalam mesyuarat Kabinet.
“Kami semua mahu keamanan di rantau ini dan pada masa sama Sukan SEA akan berlangsung hujung tahun ini. Jadi kita berharap isu ini dapat diselesaikan secara aman dan segera,” katanya.
Konflik yang melanda kedua-dua negara itu sejak beberapa hari lalu menjadi kebimbangan daripada aspek keselamatan apabila penganjuran sukan dwitahunan itu bakal berlangsung di Thailand pada Disember depan.