Konflik Timur Tengah: 649 rakyat Malaysia terkandas, usaha evakuasi giat dijalankan

Konflik Timur Tengah: 649 rakyat Malaysia terkandas, usaha evakuasi giat dijalankan

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas susulan peningkatan konflik di beberapa kawasan di Timur Tengah sedang giat dijalankan.

Kementerian Luar berkata, seramai 24,568 rakyat Malaysia telah berdaftar melalui sistem e-Konsular setakat 7 Mac, jam 6 petang.

Menurutnya, seramai 649 rakyat Malaysia kini dilaporkan terkandas di beberapa lokasi di rantau itu dan usaha semasa tertumpu bagi membantu mereka.

“Jemaah Menteri telah meluluskan pelan evakuasi kontingensi sekiranya situasi keselamatan serantau merosot.

“Keutamaan kerajaan adalah membantu rakyat Malaysia yang terkandas akibat gangguan perjalanan dan memudahcara kepulangan mereka melalui penerbangan komersial yang tersedia. Nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada 5 Mac 2026 kekal berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, penyelarasan evakuasi kini memanfaatkan laluan perjalanan yang tersedia serta penerbangan komersial di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Oman dan Türkiye.

Kementerian Luar berkata, Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau itu telah mengalihkan tumpuan operasi kepada penyelarasan evakuasi dan bantuan konsular.

“Kementerian merakamkan penghargaan kepada kerajaan negara berkenaan, pihak berkuasa berkaitan serta syarikat penerbangan yang terlibat atas kerjasama dalam memudahcara pergerakan ini,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan kemaskini perwakilan, Kementerian Luar memaklumkan jumlah rakyat Malaysia yang terkandas di Oman telah berkurang daripada 190 kepada lima orang berikutan beberapa keberangkatan pulang dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Manakala di UAE katanya, seramai 246 rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai telah berlepas, dengan 176 orang masih berada dalam senarai aktif perwakilan.

“Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai sedang menghubungi rakyat Malaysia yang masih terkandas bagi membantu mendapatkan pilihan tiket alternatif, termasuk melalui AirArabia dan SriLankan Airlines, serta membantu menyelesaikan isu penginapan.

“Penerbangan Emirates EK342 telah berlepas dari Dubai ke Kuala Lumpur pada 6 Mac 2026 membawa 222 penumpang rakyat Malaysia, termasuk individu yang terkandas serta kumpulan jemaah yang transit dari Jeddah.

“Emirates juga telah menyambung semula jualan tiket laluan Dubai–Kuala Lumpur mulai 7 Mac 2026. Di Abu Dhabi, 25 rakyat Malaysia masih terkandas manakala lima orang telah berlepas ke destinasi lain,” katanya.

Kementerian Luar berkata, di Bahrain, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkandas, namun 105 orang telah berdaftar untuk evakuasi secara sukarela.

Katanya, di Arab Saudi, seramai 243 rakyat Malaysia masih terkandas dan kebanyakannya merupakan jemaah umrah.

“Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah mempergiatkan penyelarasan dengan pengendali perjalanan dan pihak berkuasa berkaitan bagi memudahcara kepulangan jemaah.

“Pada 5 Mac 2026, perwakilan telah mengadakan sesi libat urus dengan agensi pelancongan serta melancarkan borang pengumpulan data bagi tujuan keutamaan evakuasi.

“Sehingga 7 Mac 2026, jam 12.00 tengah hari, sebanyak 243 maklum balas telah diterima, membolehkan pegawai memberi keutamaan kepada jemaah persendirian yang belum memperoleh tiket penerbangan pulang,” katanya.

Katanya pergerakan penerbangan dari Jeddah turut diteruskan dengan dua penerbangan Malaysia Airlines telah berlepas pada 6 Mac.

“Penerbangan seterusnya oleh Malaysia Airlines dan AirAsia dijadualkan pada 8 Mac, manakala Batik Air dijadualkan beroperasi pada 9 Mac.

“Pada 6 Mac, tiga penerbangan Emirates dan dua penerbangan Etihad telah berlepas dari Jeddah ke UAE, sekali gus menyediakan laluan transit tambahan bagi jemaah Malaysia untuk pulang,” katanya.

Kementerian Luar berkata, sekatan ruang udara terus menjejaskan perjalanan di beberapa bahagian rantau itu.

Katannya, ruang udara Iraq masih ditutup, manakala operasi penerbangan awam di Qatar masih berdepan sekatan.

“Kementerian mengambil maklum kenyataan terkini yang dikeluarkan oleh Majlis Kepimpinan Interim Iran.

“Kementerian bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) terus memantau perkembangan semasa. Penilaian ini tidak akan menjejaskan usaha membantu rakyat Malaysia di rantau tersebut,” katanya.

Kementerian Luar dalam masa sama turut menasihatkan rakyat Malaysia di rantau itu agar mendaftar dan mengemas kini maklumat melalui sistem e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my atau melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat.

“Pengaturan evakuasi akan diselaraskan berdasarkan pangkalan data rakyat Malaysia yang berdaftar,” katanya.

Katanya, bilik operasi kementerian di Putrajaya kekal diaktifkan dan beroperasi 24 jam sehari serta boleh dihubungi di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top