khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal diadakan di Melaka selama empat hari bermula 25 hingga 28 Jun tahun ini.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang berlangsung hari ini.
Menurutnya, maklumat terperinci berkaitan kongres berkenaan akan dikeluarkan Ibu Pejabat PKR dalam masa terdekat.
Selain itu katanya, MPP PKR telah meneliti pelaksanaan ikhtiar terbaharu Kerajaan Madani, termasuk Rancangan Pendidikan Negara yang merupakan satu usaha menyeluruh bagi menjamin mutu pendidikan lebih baik selain menyediakan generasi muda menghadapi dunia digital yang
semakin mencabar.
“Program bantuan rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Jualan Rahmah dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) juga dilihat boleh ditambah baik bagi memastikan isu kos sara hidup rakyat dapat ditangani dengan tuntas.
“Langkah-langkah membanteras rasuah dan kumpulan kartel turut disokong, agar dana rakyat tidak diseleweng untuk memperkaya kelompok tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi yang merupakan Menteri Komunikasi berkata, dalam mesyuarat itu turut diumumkan lantikan lima Ex-Officio Biro Politik iaitu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari; Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap Datuk Jamawi Jaafar dan bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai Datuk Ruji Ubi dan bekas Ahli Parlimen Sipitang Datuk Yamani Hafez Musa pula dilantik sebagai Ex-Officio MPP PKR.
© New Straits Times Press (M) Bhd




