PETALING JAYA: Kongres pemilihan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka berlangsung selepas berakhir Piala Dunia 2026 dengan kemungkinan sekitar Ogos atau September tahun ini.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John yang menjelaskan proses audit terhadap FAM masih dijalankan oleh pasukan ‘pakar’ badan induk bola sepak Asia tersebut.
Katanya, sebelum pemilihan baharu dilaksanakan, FAM terlebih dahulu perlu mengadakan kongres luar biasa bagi meluluskan beberapa pindaan kepada statut yang dicadangkan.
“Kita perlu memanggil kongres luar biasa terlebih dahulu untuk menerima perubahan kepada statut. Itu perkara yang pertama sekali. Kita perlu mengadakan kongres luar biasa sebelum Piala Dunia iaitu pada awal Jun.
“Masih banyak kerja yang perlu dilakukan, kita perlu mendapatkan kelulusan daripada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan juga AFC berhubung statut itu. Jadi masih banyak perkara yang perlu diselesaikan.
“Kita mahu menyelesaikan kongres luar biasa itu sebelum Piala Dunia dan kongres pemilihan pula diadakan selepas Piala Dunia.
“Mungkin sekitar Ogos atau September kita dapat menyelesaikan semuanya. Kita juga tidak mahu melengahkan terlalu lama proses tanpa (FAM) mempunyai Jawatankuasa Eksekutif,” katanya pada sidang media mengenai status terkini audit AFC di Wisma FAM. semalam.
Terdahulu, keseluruhan barisan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 mengambil keputusan meletakkan jawatan pada Januari lalu susulan kontroversi pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan negara.
Windsor turut menjelaskan proses audit yang dijalankan sejak bulan lalu menunjukkan perkembangan positif walaupun baru mencapai kira-kira separuh daripada keseluruhan penilaian.
“Kita sudah meneliti pelbagai aspek pentadbiran dan penstrukturan dalam FAM termasuk sumber manusia, pekerja, kewangan, pemasaran dan status perlembagaan.
“Ini baru separuh daripada penilaian dan kami jangka laporan penuh mengenai audit ini akan siap tidak lama lagi,” ujarnya.-UTUSAN




