razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tiga teras utama menjadi tunjang kepada Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 hari ini dalam usaha memperkasa pendidikan Bumiputera secara menyeluruh dan bersepadu.
Teras berkenaan merangkumi penyediaan kerangka strategik pendidikan Bumiputera yang jelas, terarah dan berjangka panjang, reformasi dasar yang lebih responsif terhadap realiti semasa serta iltizam politik yang kukuh bagi menjamin pelaksanaan berkesan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kesemua pendekatan itu menjadi asas penting dalam memastikan pendidikan Bumiputera terus relevan dan mampu mendepani cabaran masa hadapan.
“Selepas 68 tahun kemerdekaan, kita harus berani bertanya kepada diri kita sendiri, apakah wawasan pendidikan Bumiputera untuk masa hadapan.
“Dan lebih penting lagi adakah kita benar-benar berada di landasan yang betul untuk melahirkan generasi Bumiputera yang unggul, berdaya saing dan berdaya tahan dalam dunia yang berubah dengan begitu pantas?.
“Maka amat bertepatanlah Kongres ini diadakan bersempena ulang tahun ke-80 UMNO, sebuah gerakan yang sejak awal perjuangannya menjadikan pendidikan sebagai instrumen mobiliti sosial, pemerkasaan bangsa dan pembinaan tamadun,” katanya ketika menyampaikan ucapan Hala Tuju Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Kongres Pendidikan Bumiputera berkata, kongres ini bukan sekadar platform perbincangan, sebaliknya menjadi ruang muhasabah nasional bagi menilai kedudukan sebenar Bumiputera dalam landskap pendidikan masa kini.
“Ia juga menjadi makmal idea untuk merumus pendekatan baharu yang lebih segar, realistik dan berimpak tinggi, selain menjadi medan penyelesaian kepada isu-isu kritikal,” katanya.
Beliau berkata, perkara paling utama bagaimana segala perbincangan, cadangan serta catatan di atas kertas
ini dapat diterjemahkan menjadi tindakan yang strategik, ampuh dan benar-benar terlaksana.
“Bukan retorik semata-mata. Kerana bangsa yang besar bukan hanya bangsa yang pandai berbicara,
tetapi bangsa yang mampu melaksanakan,” katanya.
Tambahnya, pendidikan Bumiputera perlu dilihat secara menyeluruh merangkumi pendidikan awal, sekolah, latihan kemahiran dan pendidikan tinggi.
“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi mempunyai kemahiran, keyakinan diri serta keutuhan akhlak,” katanya.
Katanya, Kongres ini menghimpunkan tokoh-tokoh terbaik negara daripada pelbagai lapangan daripada sistem pendidikan sekolah sehingga ke pendidikan tinggi.
“Kita turut mengundang pakar industri kerana kita sedar bahawa masa depan pendidikan tidak boleh dipisahkan daripada realiti ekonomi, teknologi dan perubahan pasaran kerja.
“Gabungan antara ahli akademik, pembuat dasar dan pemain industri ini amat penting supaya setiap cadangan yang lahir bukan sahaja ideal dari sudut teori, tetapi praktikal dan mampu dilaksanakan di lapangan sebenar,” katanya.
Zambry berkata, segala dapatan dan perbahasan Kongres ini akan dirumuskan dalam bentuk resolusi untuk diserahkan kepada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
“Harapan kita jelas agar resolusi ini tidak menjadi sekadar dokumen yang tersimpan di rak-rak pejabat, tetapi menjadi asas kepada tindakan nasional yang konkrit, berani dan berkesan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



