Pelakon Ezzaty Abdullah, 36, menyifatkan pengalaman menjayakan watak sebagai pemandu p-hailing sebagai satu ‘peringatan’ yang membuka mata tentang keperluan perlindungan sosial, terutama buat golongan bekerja yang sering menganggap semuanya boleh ditanggung sendiri.
Dalam naskhah bertajuk Janji Ibu, bintang drama bersiri Autumn Di Hatiku ini membawa watak Mawar, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai penghantar makanan demi membesarkan dua anak.
“Watak saya dalam TVC Hari Raya 2026 untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah seorang pemandu p-hailing bernama Mawar. Mawar merupakan ibu tunggal yang menyara dua anak,” katanya.

Menurut Ezzaty, Mawar digambarkan sebagai insan yang terlalu mendahulukan orang lain sehingga mengabaikan keperluan diri sendiri, sesuatu yang dekat dengan realiti ramai pekerja hari ini.
“Mawar memang suka membantu. Dia sampai lupa dia pun perlukan bantuan. Dia tak sanggup tengok orang susah, malah kalau nampak haiwan lapar pun dia sanggup berhenti sekejap untuk beri makan,” ujarnya.
Katanya, mesej utama naskhah itu mengingatkan masyarakat bahawa kekuatan bukan bermaksud menolak bantuan, sebaliknya bersedia dengan perlindungan sewajarnya sebagai langkah berjaga-jaga.
“Ramai rasa mereka kuat dan boleh urus semuanya sendiri. Tapi bila berlaku kemalangan, caruman itulah yang jadi penyelamat,” katanya.

Tambahnya, tiada siapa mengharapkan musibah, namun perlindungan sosial menjadi sandaran apabila perkara buruk berlaku dan keluarga perlu meneruskan hidup.
“Kita tak minta benda buruk jadi. Tapi bila dah jadi, perlindungan sosial inilah yang bantu keluarga teruskan kehidupan,” katanya.
Bercakap mengenai caruman Perkeso, Ezzaty menegaskan perlindungan itu penting untuk semua lapisan pekerja termasuk pekerja gig seperti penghantar makanan, selain penggiat seni yang juga terdedah kepada risiko ketika bekerja.
“Saya pernah nampak sendiri kemalangan melibatkan pemandu p-hailing. Kita juga selalu baca tentang perkara sama di media sosial. Mereka pertaruhkan nyawa setiap hari untuk cari rezeki,” katanya.
Pengalaman itu, kata Ezzaty, membuatkan dia memikirkan tentang beban keluarga jika pencari nafkah ditimpa sesuatu.
“Bila saya tengok kejadian itu, saya terus terfikir kalau sesuatu berlaku pada dia, macam mana keluarga dia? Mungkin dia seorang ayah, suami atau anak lelaki yang menanggung ibu bapa,” luahnya.
Ezzaty turut menekankan caruman Perkeso sekurang-kurangnya memberi ‘payung’ kepada keluarga yang ditinggalkan untuk meneruskan hidup, walaupun kehilangan insan utama yang menyara mereka.
“Sekurang-kurangnya keluarga masih ada tempat bergantung. Duit itu mungkin bukan segalanya, tapi cukup untuk mereka mula bina semula hidup,” katanya.
Malah, sebagai majikan, Ezzaty berkata dia turut memandang serius aspek perlindungan pekerja apabila memastikan caruman Perkeso dibayar untuk tiga kakitangan yang bekerja di perniagaan salon miliknya.
“Bagi saya itu tanggungjawab majikan. Kita kena sediakan perlindungan sebelum apa-apa berlaku,” jelasnya.

TVC Aidilfitri Perkeso Janji Ibu turut menampilkan Syafie Naswip dan pelakon kanak-kanak Umar Shakur, mengetengahkan kisah menyentuh hati tentang ibu tunggal, pekerja gig serta wanita sebagai tunjang keluarga, sekali gus menekankan keselamatan sosial sebagai keperluan asas untuk kelangsungan hidup pekerja dan keluarga.
Iklan raya Janji Ibu dijadualkan menemui penonton pada Mac ini.




