Konon nak tolong, rupanya kebas wang warga emas

Konon nak tolong, rupanya kebas wang warga emas

mdroji@bh.com.my

Kuching : Seorang lelaki berlagak baik membantu warga emas yang mengalami masalah untuk mengeluarkan wang melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) rupa-rupanya hanya helah untuk mencuri wang mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, kejadian itu berlaku di sebuah mesin ATM di Stutong di sini ketika kira-kira jam 8.30 pagi, 30 Mac lalu.

Beliau berkata, dalam kejadian itu seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun menghadapi kesulitan untuk mengeluarkan wang di mesin ATM itu dan suspek menghampirinya, berpura-pura mahu membantu.

“Selepas mangsa memasukkan kad ATM dan kata laluan, suspek menekan jumlah pengeluaran sebanyak RM1,500 namun hanya menyerahkan RM300 kepada mangsa sebelum melarikan diri dengan baki wang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, warga terbabit yang menyedari ditipu suspek kemudian bertindak membuat laporan polis.

“Suspek berjaya dijejaki dan ditahan oleh sepasukan anggota dari Cawangan D4, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching sekitar jam 1.55 petang, 4 April di Kenyalang Park.

“Turut dirampas beberapa barang kes dan hasil soal siasat awal, suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Merbin berkata, suspek yang bekerja sebagai tukang cuci direman selama tiga hari sehingga 8 April bagi membantu siasatan lanjut termasuk kemungkinan terbabit dalam kes-kes lain.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,”katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top