KUALA LUMPUR – Rangkaian pasar raya borong 24 jam, ST Rosyam Mart terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan hasil pendekatan agresif serta fokus terhadap keperluan pelanggan.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Raymond Ho berkata, kejayaan itu didorong oleh komitmen syarikat dalam menyediakan perkhidmatan sepanjang masa serta penawaran produk yang pelbagai pada harga berpatutan.
Menurutnya, operasi 24 jam yang dilaksanakan telah berjaya menarik pangkalan pelanggan yang besar, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan yang signifikan.
“Malah pengiktirafan yang diterima daripada The Asia Record melambangkan perkembangan serta komitmen kami dalam melayani pelanggan tanpa mengira masa,” katanya.
Terbaharu, ST Rosyam Mart membuka cawangan di Jakel Square pada Disember lalu yang beroperasi 24 jam sehari sepanjang tahun.
Cawangan tersebut direka sebagai destinasi sehenti, bukan sahaja untuk membeli barangan dapur, malah sebagai lokasi untuk pelanggan singgah, berehat dan menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih selesa di tengah bandar.
Dalam masa sama, Raymond berkata, matlamat utama syarikat di bawah Sri Ternak sentiasa jelas iaitu membantu orang ramai serta perniagaan menjimatkan masa dan kos, di samping menyediakan keperluan harian halal yang dipercayai.
“Walaupun kos sewaan di Kuala Lumpur lebih tinggi, kami tetap mengekalkan harga jualan borong seperti di cawangan lain,” ujarnya.

Pengiktirafan yang diterima melambangkan perkembangan serta komitmen kami dalam melayani pelanggan tanpa mengira masa
Sempena pembukaan cawangan tersebut, pelbagai produk serta perkhidmatan percuma ditawarkan kepada pelanggan, selari dengan slogan ‘selamatkan dompet warga kota’.
ST Rosyam Mart Jakel Square menawarkan pelbagai barangan termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan segar.
Selain itu, pelanggan turut menikmati lebih 20 perkhidmatan percuma seperti air minuman, penggunaan power bank, perkhidmatan memotong daging, pinjaman payung, bantuan bateri kereta serta pam tayar.
Kemudahan tersebut dilihat sebagai nilai tambah yang jarang ditawarkan oleh pasar raya di kawasan bandar.
Dalam perkembangan sama, ST Rosyam Mart turut merancang untuk membuka lebih banyak cawangan baharu termasuk di Melaka dan Johor, selain menyasarkan peluasan ke Pantai Timur dan Pantai Barat.



