Konsert bermakna, bukan sekadar isi jadual – Sheila Majid

Konsert bermakna, bukan sekadar isi jadual – Sheila Majid

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid mengumumkan bakal mengadakan konsert solo, Sheila Majid 40 Years in Music di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 8 November ini. Menurutnya yang kali terakhir mengadakan konsert berskala besar pada 2023, Axiata Arena adalah lokasi terbaik untuknya mengadakan konsert bersempena ulang tahun ke-40 usia kerjayanya itu.

“Sejak 40 tahun lalu, saya tidak pernah membuat persembahan di Axiata Arena, kerana tempat itu pun belum wujud ketika itu. Jadi, saya rasa sempena 40 tahun dalam industri ini, mungkin sudah tiba masanya untuk saya tampil di situ.

“Setiap kali saya mengadakan konsert, saya akan pastikan ia membawa makna, ada sesuatu pencapaian untuk diraikan bersama peminat. Bukan sekadar buat konsert untuk mengisi jadual.

“Kali terakhir saya menganjurkan konsert ialah pada tahun 2023 di PWTC, dan ketika itu saya berjanji kepada peminat untuk sama-sama meraikan ulang tahun ke-40 dalam industri di lokasi yang lebih besar.

“Kini, ada peminat dari generasi Z dalam kalangan penyokong saya. Oleh itu, kami memilih Axiata Arena sebagai lokasi konsert kali ini,” katanya.

Untuk konsert itu, Sheila bakal menyajikan susunan muzik berbeza bagi menampilkan kelainan dalam konsert kali ini.

“Saya akan menyusun semula lagu-lagu saya. Anda akan mendengarnya dari sudut yang berbeza, dan itu akan menjadi sesuatu yang menarik.

“Ketika menyusun repertoir, mestilah saya mahu menyanyikan lagu-lagu yang jarang saya persembahkan. Tetapi peminat pula mahukan lagu-lagu yang sama.

“Begitu juga dengan penyanyi lain, lazimnya peminat ingin mendengar lagu-lagu hits. Ada peminat yang jarang melihat persembahan saya secara langsung,” katanya.

Konsert Sheila Majid 40 Years in Music dianjurkan oleh penganjur acara, Altus Prohouse.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top