am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Konsert Cipta Datuk M Nasir yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil berjaya memukau seramai 8,000 penonton, malam tadi.
Konsert durasi lebih dua jam itu juga disemarakkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Lebih bermakna, M Nasir, 66, juga mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-77 buat Anwar dengan menghadiahkan pulut kuning pada konsertnya itu.
“Saya nak hadiahkan lagu pada seseorang iaitu Perdana Menteri. Tapi saya tak hadiahkan kek tapi pulut kuning,” katanya.
M Nasir juga menyanyikan lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’ buat Anwar dan disambut dengan sorakan penonton.
Pada konsert yang bermula jam 9 malam itu, M Nasir menghiburkan penonton dengan rangkaian lebih 20 lagu ciptaannya termasuk secara medley dengan iringan barisan pemuzik dan penyanyi latar.
Bukan sahaja membawakan rangkaian lagu dari album solo miliknya, M Nasir menghiburkan ribuan penonton dengan lagu-lagu ciptaan magisnya untuk kumpulan Search, Alleycats, Awie, Seha, BPR, Kristal, Def Gab C dan Rahim Maarof.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu bersempena 45 tahun pembabitan maestro muzik terkenal itu dalam dunia seni tanah air.
© New Straits Times Press (M) Bhd




