georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Konsert Dolla Good Girls Gone Bad Live in Concert yang sepatutnya berlangsung 6 Disember depan di Idea Live Arena dibatalkan penganjur Sah Entertainment dan label Universal Music Malaysia.
Pengarah Sah Entertaiment, Sufie Rashid, berkata faktor persiapan antara sebab keputusan itu dilakukan selain mahu utamakan kebajikan semua yang terbabit dalam konsert berkenaan.
“Selepas menilai semula keseluruhan garis masa persiapan acara, aspek keselamatan, teknikal, kelulusan diperlukan dan persediaan operasi, persiapan akhir mungkin tidak dapat disempurnakan dalam tempoh ditetapkan.
“Meneruskan acara dalam keadaan tidak menentu ini boleh membawa risiko yang tidak perlu. Ia termasuk kemungkinan gangguan acara pada saat akhir dan ini akan menjejaskan semua pemegang tiket.
“Keutamaan kami adalah keselamatan dan kesejahteraan artis, kru, pasukan lokasi dan terutama sekali peminat. Kami enggan beri persembahan kurang daripada apa yang terbaik daripada Dolla,” katanya.
Sufie akui pihaknya sudah berusaha memberi pengalaman luar biasa untuk penonton pada konsert itu. Namun batasan masa antara punca utama tidak mampu merealisasikan persembahan terbaik pada malam terbabit.
Dia percaya pada penganjuran persembahan yang menepati standard tertinggi dari segi keselamatan, kualiti dan pengalaman.
“Selepas melalui perbincangan teliti serta penilaian risiko, kami mendapati bahawa meneruskan acara mengikut garis masa semasa berpotensi menjejaskan kualiti keseluruhan acara.
“Justeru, kami akan memproses semua pemulangan wang (refund) dengan segera,” katanya lagi.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim pula berkata, keputusan itu bukan mudah dan mencetus kekecewaan ramai termasuk peminat Dolla. Dia faham dan reda dengan keputusan itu.
“Buat peminat setia Dolla, kami turut merasai kekecewaan anda dan tahu betapa tinggi harapan untuk konsert ini. Kami dengan tulus memohon maaf atas segala kesulitan dan rasa kecewa yang timbul
“Namun komitmen kami untuk memastikan pengalaman sempurna serta selamat kekal menjadi keutamaan. Pemulangan wang akan diproses secara automatik melalui kaedah pembayaran asal kepada semua pemegang tiket,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




