Konsert Dolla Di Malaysia & Singapura Raih Sambutan Hangat, Harga Tiket Mesra Poket Jadi Tarikan

Konsert Dolla Di Malaysia & Singapura Raih Sambutan Hangat, Harga Tiket Mesra Poket Jadi Tarikan

Konsert Dolla: Good Girls Gone Bad, Live In Concert mencetuskan keterujaan hebat apabila diumumkan baru-baru ini, sekali gus menerima sambutan luar biasa daripada peminat di Singapura dan Malaysia.

Faktor harga tiket yang ditawarkan pada kadar berpatutan menjadi antara daya penarik utama, sekali gus membuktikan kehadiran Dolla di pentas muzik masih mendapat tempat istimewa dalam hati peminat.

Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, strategi harga ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk memastikan konsert bertaraf tinggi dapat diakses oleh semua golongan masyarakat.

“Kami faham keadaan ekonomi sekarang, dan kami percaya muzik harus jadi penghubung – bukan penghalang.

“Itulah sebabnya SAH Entertainment buat keputusan untuk tetapkan harga tiket yang mampu milik.

“Ini supaya lebih ramai dapat hadir dan merasai sendiri kehebatan persembahan Dolla secara langsung,” katanya.

Konsert ini bakal menemui peminat di dua lokasi utama iaitu Capitol Theatre, Singapura pada 22 November 2025 dan IDEALive Arena, Petaling Jaya pada 6 Disember 2025.

Kini dianggotai oleh tiga ahli berbakat, Tabby, Angel dan Sabronzo, kumpulan Dolla berjanji menghadiahkan persembahan penuh bertenaga serta menghiburkan para peminat.

Sejurus jualan tiket dibuka, media sosial dibanjiri dengan komen positif daripada peminat yang memuji harga mesra poket dan peluang berharga untuk menyaksikan aksi Dolla secara langsung.

Untuk maklumat lanjut serta pembelian tiket, orang ramai boleh melayari saluran rasmi SAH Entertainment dan Dolla di media sosial serta platform jualan tiket yang diumumkan.

Scroll to Top