Konsert Ed Sheeran: Kita akan teliti sekiranya perlu diambil tindakan – Fahmi

Konsert Ed Sheeran: Kita akan teliti sekiranya perlu diambil tindakan – Fahmi

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi memberi jaminan proses saringan kepada permohonan persembahan artis luar negara masih kekal dan tiada perubahan setakat ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau percaya Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) akan membuat saringan teliti.

“Salah satu dari agensi tersebut adalah JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan KDN (Kementerian Dalam Negeri), antara lain.

“Sudah pasti saringan yang teliti dibuat oleh kesemua agensi. Insya-Allah kita akan teliti sekiranya perlu diambil apa-apa tindakan.

“Buat masa ini belum ada apa-apa perubahan dengan kelulusan yang telah diberi sebelum ini, pada waktu ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Mufti Pulau Pinang supaya kerajaan membatalkan konsert penyanyi Ed Sheeran yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 24 Februari ini.

Terdahulu, media melaporkan Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor memohon supaya kementerian berkenaan menghormati pandangan mufti yang menyatakan hukum syarak sebelum menganjurkan acara hiburan.

Wan Salim berkata, larangan terhadap aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender dalam persembahan artis luar negara perlu dipandang berat. – MalaysiaGazette