Penyanyi, komposer dan ikon fesyen tempatan, Hael Husaini, bakal melakar sejarah dengan penganjuran konsert solo sulungnya berjudul, ‘Konsert Hael Husaini & Repertoire’ yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2025.
Dikenali dengan vokal mantap, gaya eksentrik dan sentuhan kreatifnya dalam muzik, Hael menjanjikan lebih daripada sebuah konsert tetapi gabungan seni, emosi dan fesyen eksklusif yang pasti mencetus inspirasi.
Sebagai pemenang dua kali berturut-turut Anugerah Juara Lagu menerusi lagu-lagu ikonik seperti “Jampi” dan “Haram” (duet bersama Dayang Nurfaizah), Hael terus mencipta impak apabila ciptaannya berjudul “Anta Permana” nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza tersenarai dalam playlist rasmi “The King’s Music Room” pilihan HRH King Charles III di Apple Music.
“Saya terdiam bila diberitahu lagu saya dipilih oleh King Charles. Ia satu pengiktirafan buat muzik Malaysia,” katanya.
Tidak habis disitu, figura ini juga turut mendapat pengiktirafan global apabila tahun 2024 menyaksikan satu lagi pencapaian membanggakan apabila lagu “Diam” diangkat sebagai “Best Theme Song” di Asian Academy Creative Awards (AACA), Singapura.
Dalam dunia fesyen pula, Hael menawan pentas Milan dan Paris Fashion Week 2025, memperagakan jenama antarabangsa seperti Dolce & Gabbana, Zegna, Amiri dan Kenzo.
Sebelum ini, Hael membuat kejutan menerusi sebuah program televisyen apabila dia secara rasmi memaklumkan bakal mengadakan konsert ‘Hael Husaini & Repertoire’ bersama barisan artis ternama tanah air seperti, Dayang Nurfaizah, Nadeera, Wany Hasrita dan Nabila Razali.
Tambah Hael, konsert ini bukan sekadar persembahan lagu-lagu hits nya dari awal kerjayanya, tetapi juga menyajikan susunan muzik baharu, visual sinematik, kolaborasi eksklusif, serta elemen fesyen mewah yang mencerminkan evolusi estetiknya.
“Saya mahu peminat menyelami setiap detik dalam konsert ini — dari muzik hingga fesyen. Biar mereka pulang dengan rasa bangga dan terinspirasi,” jelasnya.
Harga tiket & Kategori
Penjualan tiket sudah mula dibuka kepada peminat bermula 3 Jun 2025, menerusi ticket2u.com.my.