Konsert Muzik Kita! gegar MAEPS Ogos ini

Konsert Muzik Kita! gegar MAEPS Ogos ini

KUALA LUMPUR: Hasrat peminat untuk sekali lagi menonton persembahan pemuzik underground pelbagai generasi bakal terlaksana menerusi Konsert Muzik Kita! yang akan diadakan di Hall A, MAEPS Serdang 2 Ogos ini.

Dewan itu nanti digegarkan dengan kemunculan lebih 10 pemuzik antaranya Butterfingers, Monoloque, Ki Misri, Fugo, Perry, Fimie Don, Satwo, Heidi Moru dan Nadarasa.

“Kita melihat muzik berubah seiring pertukaran generasi. Selera muzik orang dulu lain dengan citarasa generasi kini.

“Jadi matlamat kita adalah untuk satukan citarasa muzik generasi dulu dengan yang sekarang atas satu pentas.

“Kita harap pentas Konsert Muzik Kita! nanti menjadi platform yang mengharmonikan pelbagai muzik underground yang merentas masa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Hard Global Ventures, Khairil Azam Pilus atau lebih dikenali sebagai, Aril Pilus.

Aril berkata demikian pada sidang media khas yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Konsert Muzik Kita! gegar MAEPS Ogos ini

Kata Aril, konsert itu juga bakal menjadi platform untuk penonton mengenali corak muzik dan persembahan underground pelbagai era.

“Generasi muda boleh mengenali bentuk muzik ‘indie’ dulu dan begitu juga generasi terdahulu berpeluang menikmati persembahan muzik ‘indie’ sekarang,” kongsinya.

Konsert Muzik Kita! juga bakal menampilkan Dukes, Mardiana, Salammuzik serta kemunculan khas, Nosstress dari Indonesia.

Tiket yang dijual pada harga antara RM75 hingga RM300 dibuka untuk tempahan sejak April lepas.- UTUSAN

Scroll to Top