am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Konsert Muzik Kita! yang sepatutnya berlangsung pada 2 Ogos ini di Hall A, MAEPS Serdang ditunda ke Disember tahun ini bagi memastikan penganjuran berjalan lebih lancar dan berkualiti.
Ketua Pegawai Eksekutif Hard Global Ventures, Khairil Azam Pilus atau Aril Pilus berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor teknikal serta logistik.
“Kami mahu beri pengalaman terbaik buat peminat. Daripada susunan persembahan, sistem bunyi, keselamatan hingga keselesaan penonton, semuanya perlu berada pada tahap tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan menghargai kesabaran semua pihak yang terlibat.
Menurutnya, maklumat lanjut termasuk tarikh baharu dan urusan berkaitan tiket akan diumumkan tidak lama lagi.
“Kami janji Muzik Kita! akan kembali dengan lebih hebat. Terima kasih kerana terus menyokong muzik tempatan,” katanya.
Konsert yang menghimpunkan barisan artis popular tanah air itu dijangka menjadi antara acara terbesar hujung tahun ini.
Antara barisan artis yang dijadualkan membuat persembahan ialah Butterfingers, Monoloque, Ki Misri, Fugo, Perry, Fimie Don dan Satwo, Heidi Moru, Nadarasa, Dukes, Mardiana, Salammuzik serta kumpulan dari Indonesia, Nosstress.
© New Straits Times Press (M) Bhd