mhafis@mediaprima.com.my
Petaling Jaya: Tiga pengedar dadah sudah ditahan susulan kematian empat pengunjung dan tiga pengunjung mengalami kecederaan dalam konsert PinkFish pada ambang tahun baharu, 31 Disember lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar Selangor pada 8 hingga 12 Januari lalu yang mana salah seorang suspek berada di konsert terbabit ketika kejadian.
Menurutnya, hasil laporan dari Jabatan Kimia, darah kesemua si mati mengandungi kandungan dadah termasuk tiga pengunjung yang terselamat.
“Tujuh individu terbabit termasuk empat yang meninggal dunia ada dadah dalam kandungan darah jenis MDMA atau pil ekstasi. Polis mendapati pil itu dibeli dari luar dan ada juga dibeli di dalam konsert terbabit.
“Pihak polis hampir menyelesaikan siasatan dan ketiga-tiga penjual itu mengedar dadah dalam skala kecil di konsert dengan penjualan secara individu di mana salah seorang itu ada ketika konsert itu berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2,Lebuhraya Baru Pantai (NPE), di sini, hari ini.
Hussein berkata, polis bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bukanlah hendak melarang sebarang penganjuran konsert tetapi akan mengetatkan syarat dari segi muzik, jumlah pengunjung, tempat penganjuran, keluasan tempat dan kesediaan penganjur menyediakan pasukan ‘first aid’ sekiranya berlaku kecemasan.
“Penganjur juga perlu maklumkan kepada hospital yang berhampiran dan paling penting polis akan meletakkan pasukan narkotik untuk mengelak dan membanteras sebarang penyalahgunaan dadah termasuk pengedaran di dalam konsert,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan, polis menyiasat kematian empat individu selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway, di sini.
Hussein dilaporkan berkata, pihaknya menerima empat laporan polis daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkaitan kematian dua lelaki dan dua wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd




